Khamis, 29 Disember 2011

Ittaqullah...

Bismillah.

Ketahuilah wahai saudara, jika anda takutkan pemerintah, pemerintah akan mati. Jika anda takutkan kegelapan, kelak kan terbit sang mentari. Jika anda takutkan kemiskinan, dengan usaha akan hadir rezeki. Jika anda takutkan kehinaan, ketahuilah bahawa serata makhluk sama nilai disisi ilahi. Jika anda takutkan peperiksaan, fahamilah bahawa ia tidak lebih dari helaian helaian kertas sekadar menguji. Tetapi jika anda takutkan Allah, segala nikmat pasti mengunjungi. Jika anda takutkan Allah, anda pasti ditakuti.

Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang mujtahid dunia Islam. Imam kepada mazhab Hanbali ini berguru dengan Imam Syafie rahimahullah. Beliau memenuhi kehidupannya di Iraq dengan segala amalan amalan yang mendekatkan hati beliau dengan sang pencipta alam. Tiada ditanam secebis rasa takut kecuali pada ilahi.

Zaman beliau adalah zaman Iraq diperintah oleh seorang Amirul Mukminin dari Khilafah Abbasiyyah, Almutawakkil Ala Allah Jaa'far bin Mu'tasim. Seorang khalifah yang menggantikan saudaranya Al Mu'tasim yang wafat pada tahun 323 H. Khalifah al Mutawakkil mempunyai seorang jariah yang beliau sayangi. Ditaqdirkan suatu hari, jariah itu telah dirasuk jin. Telah bermacam ikhtiyar beliau usahakan namun masih gagal. Akhirnya, beliau telah dinasihatkan untuk meminta ubat dengan Imam Ahmad.

Khalifah al Mutawakkil telah menghantar wakil untuk bertemu dengan imam Ahmad. Cubaan pertama telah gagal kerana Imam Ahmad enggan untuk pergi ke Istana. Beliau berhujah jika pihak istana mahukan khidmat beliau, seharusnya pihak istana datang kerumah beliau. Percubaan kedua yang hadir bersama surat rasmi juga tidak diendahkan oleh Imam Ahmad. Khalifah al Mutawakkil menghantar utusan ketiga dan mengarahkan utusan itu tidak pulang kecuali dengan hasil.

Atas permintaan itu, Imam Ahmad mengambil seliparnya dan diberikan kepada utusan itu. Beliau menyuruh utusan itu memberikan seliparnya kepada Khalifah al Mutawakkil. Kemudian khalifah al Mutawakkil perlulah mengangkat selipar itu lebih tinggi dari kepalanya dan berkata "..... hei syaitan dan jin yang berada didalam tubuh budak ini, keluarlah engkau dari tubuh ini, jika tidak akan aku pukul engkau dengan selipar Ahmad bin Hanbal...". Segeralah pulang utusan dengan membawa selipar Imam Ahmad.

Terdesak dengan keadaan jariah nya itu, Khalifah al Mutawakkil pun mengikuti segala pesan Imam Ahmad bin Hanbal. Diangkatnya selipar itu melepasi kepalanya dan berkata "..... hei syaitan dan jin yang berada didalam tubuh budak ini, keluarlah engkau dari tubuh ini, jika tidak akan aku pukul engkau dengan selipar Ahmad bin Hanbal...". Seusai disebut kalimah itu, terbit dari belakang jariah itu beberapa lembaga hitam dan lari dengan segera. Sebelum pergi jin itu berkata, " .... wahai khalifah, nasibku baik kerna engkau menyuruh aku keluar dari tubuh nya sahaja, jika engkau menyuruh aku keluar dari Iraq, tidak akan kusentuh bumi Baghdad ini..."

Demikian barakah seorang kekasih tuhan. Biar didatangi seorang Khalifah, darjat tidak menggugah hati seorang insan yang mulia disisi ilahi. Perasaan takut yang dianugerahkan kepada beliau disalurkan hanya pada satu sasaran. Tuhan semesta alam jagat. Ternyata selipar seorang insan yang takutkan Allah, adalah lebih ditakuti oleh makhluk yang tiada merasa hidup bertuhan. Bahkan diangkat melebihi kepala seorang Khalifah.




Wallahua'lam.

Rabu, 7 Disember 2011

Ummu Hurairah...

Bismillah.

Hari ini, aku kesibukan menyemak segala tugasan tugasan yang masih berbaki untuk semester ini. Masha Allah, banyaknya. Maka bermulalah Assignment Marathon yang pasti penuh dengan keluhan dan sifat bermalas malasan. Seusai mengupdate al wajibat di fakulti, aku tidak bercadang untuk bersiar siar lagi dikawasan universiti. Ku hidupkan enjin, kurempuh keluar gerbang Usim. Melihat adik adik Tamhidi bergembira menuju library membuatkan ku cemburu dengan masa mereka yang luas terluang untuk bersenang dengan tugasan tugasan asas.

Melepasi gerbang, merempit dihadapan stadium tertutup dan akhirnya singgah dikedai untuk membeli bahan bahan mentah untuk dimasak tengah hari ini. Apa yang dimasak, biarlah para siswa usim sahaja yang tahu. Membeli belah dalam kondisi kewangan yang tidak berapa stabil sangat melemaskan. Usah disangka bekerja dengan sebuah company yang mendominasi sebahagian pasaran design USIM boleh membuatkan anda kaya.



promot sikit

Setelah aqad selesai di kaunter, kupejam mata agar ia tidak melilau kearah barang barang yang tidak diperlukan, dan terus menuju ke kuda hitamku. Kusarung helmet, kuhidupkan enjin. Ingin memulakan perjalanan. Tapi pandangan ku tertarik kepada satu sudut di Kolej Acacia. Kulihat seorang akak polis (Siswi Suksis) sedang tercari cari sesuatu dari dalam beg galasnya. Habis dipunggah buku bukunya. Kuduga dia siswi FST kerna buku buku nya berkaitan dengan sains. Ni mesti kes tak jumpa assignment.



Akhirnya dia tersenyum. Dikeluarkan dari beg galasnya sebungkus Friskies. ??? . Entah apa kajian sains yang akak ni buat?. Food Biotech kot. Dibuka bungkusan itu dan memasukkan tangannya kedalam bungkusan itu. Semacam pelik yang amat melihat situasi ini. Tak cukup makan ke akak? Di cekau Friskies itu dan diletakkan diatas surat khabar. Maka berhimpunlah segenap kucing kucing disekelilingnya. (Kucing kucing ni lah yang selalu bermain main dikakiku dikedai mamak meminta lebihan makanan) Sebuah pemandangan yang jarang kulihat. Entah kucing liar mana yang diberi makan. Namun ia menjadi simbolik seorang insan menyantuni sesama makhluk ciptaan tuhan.

Seperti imbasan kisah seorang muslim yang turun ketelaga untuk mencedok air untuk seekor anjing tertayang dihadapanku. Walau tidak diletakkan diatasnya tanggungan, namun rasa ihsan seolah sebati. Walau dia tahu tiada yang akan membalas atau mengganti wang PTPTN nya, namun bukanlah kekayaan itu terletak diatas harta.

"ليس الغني عن كثرة العرض ولكن الغني غني النفس "

"Bukanlah kaya itu atas longgokan harta, tapi kayanya seseorang itu pabila kaya hatinya dengan al mahmudah"

Terasa lapang hati bila memikirkan kepastian tuhan atas aturan rezeki. Ya tuhan, kau ubatilah hati yang senantiasa mempunyai rasa tidak cukup dengan limpah rezekimu yang pastikan hadir tampa diduga.

Wallahua'lam

Sabtu, 3 Disember 2011

Rabbana Zidna Ilman Naafi'aa

Bismillah.

Petang semalam, aku bergegas untuk ke DKP 4 untuk persediaan multi media Usim Mock Trial. Seusai solat jumaat, ku pecut laju kuda hitam ku untuk pulang mengambil laptop dirumah. Sedang aku mengelak elak kereta yang sedang tersangkut dek kesesakan lalulintas , kudapati ade sebentuk awan komulonimbus gah diatas. "Oh sudah..." bisik hati. Hujan pasti turun dengan lebat. Kutambah kelajuan, kutambah fokus agar lebih berhati hati dalam menyelit ditepi kereta dan lori.

Tiba dirumah, awan hitam telah bersedia untuk melimpahkan segala isinya. Hanya menunggu keizinan dan taqdir tuhan yang mencipta untuk menjalankan tugas. Kucapai laptop, kucapai fail. Kusepak ketepi segala kasut yang bersepah ditangga. Next Destination, kedai mamak. Perut dah lodge complain because masih belum makan sejak jam 6 petang semalam. 2 keping roti dan segelas Teh o suam, makan tengah hariku untuk hari ini. Namun sudah taqdir untuk ku lambat masuk ke bilik kawalan multimedia DKP 4 hari itu. Hujan turun dengan lebat tanpa sedikit pun tanda ia akan kembali reda dalam jangka masa 1 jam.

Tersangkut dikedai mamak bukanlah hobi yang menarik. Kebanyakan masa mamak mamak ni akan menayangkan makanan makanan yang baru dimasak. Nak makan lagi, baru lepas makan. Sabar jelah. Bertapa di kedai mamak, aku cuba cari istifadah. Izin kurnia tuhan, aku tersenyum memikir diberi kesedaran fakta yang mudah. Perkara yang biasa, tiada pemandangan yang istimewa. Hari itu, aku terkesan disetiap titik hujan.

Titik titik hujan yang rambang. Rawak dan tidak mempunyai sebarang pattern. Setiap titis yang membawa erti rasa bertuhan. Setiap titis yang mempunyai padanya pengetahuan tuhan. Allah mengetahui secara terpeinci bila titis ini akan jatuh mencium bumi, dimanakah lokasinya. Dan atas setiap titis itu juga akan menghasilkan percikan. Dan atas setiap percikan titis hujan, pengetahuan tuhan telah mendahuluinya. Bayangkan setiap kali hujan, berjuta juta titis air akan turun dan setiap titis itu adalah berada dalam perangkaan allah.

Peperiksaan akhir sedang mendekat. Merasakan diri ini tidak lebih dari titis hujan yang berada dalam kerangka qudrat tuhan, maka doa adalah wasilah yang tiada tandingan. Semoga kita semua mendapat keizinan darinya untuk dikurniakan setitis ilmunya dari limpahan ilmu yang tiada terbanding.

Rabbana Zidna Ilman Naafi'aa (Tuhanku izinkanlah kami dikurniakan ilmumu yang bermanfaat)


Kuberharap ia akan melimpah diatas mejaku ini....

Wallahua'lam.

Rabu, 30 November 2011

Ada apa dengan Mahasiswa

Bismillah.

Mahasiswa. Entah kategori mana budak budak muda ini. Melaung laung. Menjerit jerit. Entah apa nak jadi dengan budak budak ni. Macam mana ni datuk. Semakin lama semakin menjadi jadi budak budak ni. Kita perlu buat peraturan untuk kanak kanak hingusan ni. Baru diorang tahu kuasa ada dengan siapa. Saya tahu datuk, jom suruh Majlis Peguam siapkan draft undang undang. Kita gelar peraturan ni AUKU...

" Dengan ini, mahkamah telah bersetuju dengan keputusan 2 - 1, menyatakan seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah tidak sah dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia adalah infringement of right of expression". Menggelupur pegawai HEP universiti universiti Malaysia. Satu satunya alasan mereka dapat menyara hidup adalah dengan bekerja untup HEP. HEP wujud kerana AUKU wujud. Saat kuasa terbesar AUKU dikatakan tidak selari dengan perlembagaan, HEP seolah olah mengalami stroke.

Betapa mereka takut dengan gelombang mahasiswa. Siapa Mahasiswa. Ya, kami Mahasiswa yang akan mempersoal segala keputusan HEP. Kami Mahasiswa yang tidak sama sekali mempunyai sebarang kebergantungan untuk bermain politik kotor. Kami Mahasiswa yang semestinya akan menggantikan kepimpinan korup negara dimasa akan datang. Maka seharusnya persoalan kami anda jawab. Maka semestinya kebajikan kami anda dahulukan. Kerana kelak kami akan menjadi pemimpin yang pasti menekan pihak pihak yang selalu menekan kami semasa dipusat pusat pengajian tinggi. Mungkin berdendam bukanlah adat kami, tetapi demi hak hak mahasiswa dimasa hadapan, kami tidak akan sekali kali diam.

Pembaziran, penyelewengan, sikap bermalas malasan sesetengah pegawai HEP tidak akan kekal tersembunyi. Kami mahasiswa menuntu jawapan.


Selasa, 22 November 2011

Kembali Bermula

Bismillah.

Setelah lama lama aku pergi. Pulang semula hari ini. Pening pening entah apa hendak ditulis. Walau ada banyak perkara untuk dikongsi. Ya Allah, hadaf yang telah kupupuk sejak tahun awal awal penulisan entah terbang kemana. Maka hari ini inginku letakkan secara zahir qasad jari jari ini menari diatas keyboard.



"Antara Thariq Ad Dakwah(jalan jalan dakwah) Yang Tiada Sempadan Adalah Penulisan di Alam Maya"

Mengumpul segala qudrat, melawan kemahuan untuk bersenang senang dilaman laman sosial, dan meluangkan masa yang lebih dijalan ini, insha allah akan ku kembali bermula, menulis keranamu Allah.

Sabtu, 20 Ogos 2011

Badwi berpesan, Melayu fikirkan...

Berlari lari anak kecil dipetang jumaat. Entah apa yang gembira, dia ketawa besar. Berlari mengejar ummi yang baru pulang dari pasar Ramadhan. Sederhana sahaja juadah yang dibeli. Cukup untuk mereka anak beranak untuk berbuka. Pulang sang ayah menambah riang hati si kecil. Hari ini sang ayah membawa permainan aneh. Dibelek belek, masih tidak dapat menduga. Sang ayah menerangkan; ini Jalur Gemilang, bendera negara kita.... Setelah diajar, kembalilah si kecil berlari riang bersama permainan barunya. Jalur Gemilang.



Ummat melayu dikurniakan pembebasan dari cengkaman penjajah pada 31 Ogos 1957. Namun penjajah bijak meninggalkan sisa. Sisa sisa yang masih lagi digenggam kuat oleh hamba tunggangan mereka. Walau telah lebih 5 dekad mereka meninggalkan tanah bertuah, namun bendera Union Jack masih berkibar secara diam. Umat melayu masih belum mencapai status merdeka yang tuntas. Tidak perlu dihurai permasalahan negara. Biarlah ahli politik yang cuba menjernihkan tinggalan tinggalan ini, kerana itulah tugas mereka, untuk menggubal undang undang.

Ummat Melayu sepatutnya meneliti semula definisi Merdeka dari sisi pandang Islam. Telah dikhabarkan dalam sebuah peristiwa, saat Rabiah bin 'Amir diutus untuk bertemu dengan Panglima Rustum. Rabiah bin 'Amir adalah seorang arab badwi. Compang camping pakainya, keras akhlaknya. Datang bertemu Panglima Rustum dengan pedang terhunus tidak bersarung. Hanya secebis kain meliliti mata pedangnya. Beliau seorang miskin yang diangkat untuk menjadi utusan kepada Panglima Perang Parsi untuk menyeru kepada islam atau perang. Dengan kudanya yang kecil dia yakin membawa kalimah tauhid berjumpa dengan Panglima Rustum. Ditanya kepadanya oleh Panglima Rustum, maka dia menyampaikan amanat dengan kalamnya yang masyhur :

"ان الله عبت حسنة نخرج العباد من عبادة العباد إلى العبادة اله ومن ضيق الدنيا إلى سعة الاخرة ومن ظلم العديان إلى عدالة الاسلام"

"Sesungguhnya Allah apabila hendak memberikan kebaikan, maka allah mengutus kami untuk mengeluarkan kamu daripada menyembah kepada makhluk kepada menyembah tuhan yang esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan nikmat akhirat, daripada kezaliman agama agama kepada keadilan Islam"

Demikian fahamnya seorang badwi akan erti kemerdekaan. Bukanlah perginya penjajah menjanjikan kebebasan keatas negara. Tetapi fahamnya pemimpin kepada Islam adalah memadai untuk menjanjikan sebuah kebebasan. Kerana sang badwi percaya akan keadilan islam mengatasi keperluan mengambil alih sesebuah negara. Dan menolak islam menjanjikan penjajahan selama lamanya. Kepada para pejuang, ayuhlah kita bersama mengejar kemerdekaan hakiki.

Sempena graduasinya kita tahun ini dari Madrasah Ramadhan, kita menyambut Hari Kemerdekaan, kita bertakbir di pagi Aidilfitri kelak, semoga telah tertanam satu tekad untuk kita memerdekakan negara ini sebenar benar kemerdekaan. Usahakanlah agar pemimpin negara ini dapat menerima tarbiyah islami. Jika mereka tetap untuk menjadi tunggaman penjajah, anda tahu peranan anda.

Allahua'lam wallahu Akbar....

Ahad, 7 Ogos 2011

Hari Kemanusiaan Hilang.

6 & 9 August 1945..... The day where humanity had lost...















Ahad, 31 Julai 2011

Embun Awal Ramadhan

Bismillah...

Detik ini, aku bersyukur, masih bernafas. Walau seribu dosa aku lakukan sehari hari, aku masih dipertemukan dengan Ramadhan. Alhamdulillah, Allahu Akbar. Bersama senafas panjang, akan aku persiapkan satu tekad padu untuk tidak lagi lalai tahun ini. Pengalaman mengajarku bahawa, setiap detik di Madrasah Ramadhan akan mengheret pergi semangat dan azam Muslimin akhir zaman untuk terus cekal beramal. Maka adakah pengalaman ini dapat aku istifadahkan secara tuntas untuk kekal dengan sinergi ibadah hingga keakhir. Melangkah keluar, embun embun telah mulai menerjah awal Ramadhan.



Seperti dijangka hari ini masjid dan surau penuh. Seusai tiba diperkarangan surau, motorsikal ditongkat, sejadah dibentang. Malam ini, aku bersolat Terawikh sebaris dengan saf motor. Tiada lagi tempat untuk aku maju kehadapan dek penuhnya manusia yang mencari Ramadhan diawal awal minggu. Kebetulan hari ini aku berseorangan dirumah kerana seisi keluarga ke Masjid Al Falah USJ untuk bertarawikh yang berimamkan Sheikh Jibril dari mesir. Imam Besar Masjid Amru Ibn "Asr di mesir itu mempunyai suara yang garau garau merdu. Dengki.

Tahun ini, aku telah persiapkan satu set jadual yang perlu aku teliti dan patuh setaatnya. Atas berkah Madrasah ini, aku berharap untuk lebih mendisiplinkan diri dalam disiplin ibadah. Walau kelihatan remeh, tetapi masa yang terluang luas ini jika tidak diurus, oh alangkah malang dan sia sia. Terlalu banyak kebarangkalian masa ini aku zalimi dan kelak pasti tidak dapat dijawab dihadapan tuhan yang sentiasa memerhati. Internet, Tv, lebih lebih lagi Buraq (motor) ku sentiasa taat dan bersedia pada bila bila masa untuk terbang bersamaku kedestinasi yang tiada sempadannya.

Buat pengakhiran, telitilah kalam jungjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Rasul sentiasa berpesan agar kita menghidupkan siang Ramadhan dengan zikir dan tilawah, dan bangun dimalam harinya untuk mentadabur al Quran dan berqiam. Kerana sesungguhnya pada mengimarahkan Ramadhan itu, Allah akan mengampunkan dosa dosa umat umatnya yang mahu bertaubat. Dan kejarlah satu malam yang dijanjikan nikmat. Malam yang dihadiahkan hanya untuk ummat Muhammad. Alangkah beruntung mereka yang menemuinya. Semoga saat embun pagi Syawal menyapa dedaun segar, tiadalah terkesan dari hati gelap insan insan yang bertuah, calar dan parut maksiat silam.

Wallahua'lam.

Selasa, 14 Jun 2011

Hijrah 20 sen...

Bismillah...

Aku pernah terfikir, kalaulah aku jadi duit syiling 20 sen, mesti aku kene rajin rajin tulis diari. Blog blog nie memang jadi ala ala Facebook lah sebab rajin update status. Contoh rekod dokumen perjalanan aku (syiling 20 sen) dalam sehari adalah seperti ini:




1) En. Ridhwan mengambil aku dari tabung pada awal pagi.
2) Dia membeli gula gula di Kedai MSA Deen berharga 20 sen.
3) Kemudian, datang seorang adik yang bekerja di kedai Mama Cafe untuk membeli timun, mamak MSA Deen pun memulangkan baki 20 sen kepada adik itu.
4) Sampai di kedai, taukeh kedai mendapati plastik beg (supik) telah habis. Lantas mengambil baki wang dari adik itu dan pergi ke Giant.
5) Selepas membeli supik, aku telah ditransaksikan dikaunter dan ditinggalkan disana.
6) Datang pula seorang atuk dan membelikan kepada cucunya Sugus, maka dari kaunter Giant aku berpindah ke kocek atuk itu.
7) Atuk yang pemurah ini terus ke surau untuk menunaikan solat Zohor. Dia telah memasukkan aku kedalam tabung surau itu.
8) Pada petangnya, datang seorang mamat indon dan mencuri tabung itu. Maka status aku sekarang nie adalah wang haram, OMG!
9) Selesai mengira duit tabung itu, mamat indon pun terus memacu laju ke Federal Highway. Ketika melalui tol, aku dan beberapa lagi sahabat telah dimanfaatkan oleh mamat indon untuk membayar tol.
10) Aku berada di booth tol tidak lama, selang beberapa minit, aku telah dberikan kepada seorang pakcik sebagai baki wangnya.
11) Pak cik itu adalah seorang peniaga pasar malam. Dia menjual makanan yang berasaskan soya seperti air soya, tauhu fa dan tempe.
12) Seorang pelanggan datang dan membeli segelas air tauhu dan semangkuk tauhu fa. Atas transaksi bai' aku telah diamanahkan untuk bersama seorang tuan baru.
13) Tuan baru ini terus pulang ke rumah dan memasukkan aku kedalam tabungnya. Rupa rupanya tabung ini adalah tabung yang aku tinggalkan pagi tadi.

Demikian Diari sekeping duit syiling sehari. Bayangkanlah diari En. Syiling 20 sen pada hari raya, semestinya tak cukup ruangaan untuk dicatat perjalanan nya sehari. Kitaran ini akan terus berputar dan sang syiling akan sentiasa berpindah dari satu tempat hingga sampai satu masa, dia akan dileburkan untuk menjadi syiling yang baru.

Tuhan telah berfirman bahawa tiadalah dia akan menciptakan suatu itu sia sia. Maka keatas manusia untuk cuba mengambil istifadah dari setiap aturan sistem tuhan yang tidak akan sekali kali tergendala atau dalam bahasa mudahnya "hang". Syiling 20 sen yang biasa kita sepah sepahkan ini adalah satu serpihan dari selaut cara Allah mendidik manusia. Tatkala diangkat hijab atau diilhamkan olehnya, maka akan datang rasa bersyukur dan malu keatas makhluk lain.

Berpesan nabi, sesungguhnya beruntunglah seorang muslim yang mana hari ini adalah lebih baik dari semalam. Dan rugilah bagi muslim yang mana hari ini adalah sama dengan semalam, maka celakalah muslim yang hari ini adalah lebih teruk dari semalam. Hadith ini memberikan kita sebuah isyarat yang mana kita perlu sentiasa maju dan tidak berada ditakuk yang lama. Berubah dan sentiasa melangkah kearah yang positif.

Kepada semua katak, "flying kick" lah tempurung kamu. Kepada semua mahasiswa, usahlah anda masih lagi leka dengan dunia teorimu. Wahai rakyat rakyat kampung, usahlah berkiblatkan berita berita dari akhbar akhbar yang menipu. Wahai para pencari tuhan, aturlah langkah mu bersama parti Islam. Bersama kita menjatuhkan para pengkhianat bangsa yang menghuru harakan pentadbiran negara. Berhijrahlah kamu sesegera yang boleh. Usah ditangguh lagi perjalanan itu. Malulah anda semua dengan syiling 20 sen yang lebih kerap berhijrah berbanding kamu.


Ayuh....!!!

Khamis, 9 Jun 2011

Teh, Dunia dan Aku...

Bismillah...

Teh merupakan antara minuman yang telah sebati dan resmi dengan masyarakat Malaysia. Teh merupakan pilihan yang pasti dalam hidangan harian masyarakat Malaysia. Bermacam variasi perasa telah dieksperimenkan oleh masyarakat dunia dalam usaha menjadikan minuman ini menepati selera masing masing. Di Malaysia sahaja sudah tidak terhitung. Ada ditambah limau, susu segar, perasa perasa tambahan seperti anggur, strawberry dan ada juga yang menambah buah Laici.

Aku merupakan antara penggemar teh. Untuk lebih tepat, teh asli tampa sebarang inovasi baharu. Terkadang aku merasakan teh yang telah ditambah element asing telah menghilangkan fitrah asal teh. Sememangnya aku agak cerewet apabila teh itu tidak mencapai kualiti asas. Menjaga kualiti teh itu padaku merupakan suatu seni yang perlu dipandang berat. Suhu air perlu tepat 100 'c, dan daun teh perlu kembang secara sempurna. Jika prinsip asas ini tidak dipatuhi, maka akan hambar lah hasilnya.

Terdapat pelbagai cara dan tabiat para penggemar teh seluruh dunia. Masing masing berjaya membawa imej mereka sendiri dalam menikmati rasa teh. Malaysia juga turut menjadi tumpuan dunia dalam mempamerkan keunikan tersendiri. Teh tarik merupakan imej Malaysia dalam dunia teh.

Afghanistan adalah antara peminum teh paling dominan didunia. Kebiasaannya, mereka akan menikmati teh pada waktu pagi dan chapati sebagai hidangan utama. Mereka menggemari teh ini ditambah dengan jaggery (sejenis gula merah) dan tidak dengan susu. Kedai kedai teh (tea house) adalah kawasan larangan bagi wanita dan para lelaki hanya akan berada di tea house untuk seketika dan bersegera ke tempat kerja selepas itu.

Berbeza di Iran, para peminum teh akan meneguk teh tampa sebarang tambahan pemanis. Hanya segelintir yang akan menambah gula didalam teh mereka tetapi tidak sekali kali ditambah susu. Kenapa? entah lah..... Teh kebiasaannya dihidangkan dalam bekas yang dinamakan sebagai "samovar". Ia adalah sejenis bekas yang sederhana besar yang digunakan untuk mengekalkan haba kepada teh. Dedaun teh yang ditanam di Iran mengandungi kandungan "caffaine" yang agak rendah berbanding teh lain didunia.

Bagi peminat teh hijau, Jepun adalah antara negara yang mempunyai upacaranya yang tersendiri. "Chanoyu" adalah etika dan peraturan dalam meminum teh yang diasaskan oleh seorang Sami Budha yang bernama Murata Shuko. Terdapat 4 prinsip asas dalam upacara "Chanoyu". Wa (harmony), Kae (respect), Sae (purity) dan Jubu O (tranquility). Prinsip prinsip ini adalah manifestasi keseimbangan dan fitrah diri manusia dengan alam semulajadi. Dalam upacara ini para peminum teh dapat merasai jiwa jiwa mereka menyantuni alam dan sesama jiwa yang hampir. Peace......

Teh mengandungi sejenis kimia yang dikenali sebagai L-Thenine. Ia adalah sejenis zat yang merangsang alpha wave ia itu sejenis gelombang yang merangsang otak untuk kekal cergas dan menjurus kearah sisi pandang sesuatu perkara kearah positif. 3 - 4 cawan teh sehari akan menjadikan otak kita sentiasa bersedia dan tumpu. Berbanding kopi, teh adalah pilihan yang baik untuk mendapat sumber caffeine dalam badan. Ini kerana L-Thenine yang telas berasimilasi dengan caffeine telah menjadikan kesan Thenine untuk bertahan lama.

Hari ini, tabiat meminum teh atau minuman minuman panas telah pudar. Manusia khususnya rakyat Malaysia yang tinggal dibandar bandar lebih tertarik untuk meminum minuman yang bergas, sejuk dan manis. Hasilnya, rakyat menjadi semakin berpenyakit, selalu berkhayal dan tidak bertenaga. Kegemukan adalah antara kesan yang jelas menunjukkan tabiat minum rakyat dizaman yang dilabel moden ini. Maka ayuhlah kita menyahut seruan tuhan agar makan dan minum dari yang baik baik sahaja. Juga marilah kita menolak tabiat merokok yang ternyata merosakkan tubuh badan yang kita pinjam ini.

Wallahua'lam...

Khamis, 2 Jun 2011

Wahai Pengemudi Bedar Kaca...

Bismillah....

Telah sampai perkhabaran kepada segenap umat akan sebuah perutusan. Seruan yang memanggil manggil para perawan agar bersegera untuk menjaga maruah. Menjaga dengan mengkhitbah dia perempuan perempuan yang solehah dan yang menenangkan jiwa. Sesungguhnya telah dijanjikan oleh sang pencipta atas setiap pernikahan yang berkah itu akan menundukkan mata mata dan memelihara ia akan maruah.

Berpraktikal di Firma Guaman Syarie telah mengenalkan aku dunia perkahwinan yang retak, rapuh, ganas dan sedih. Sehari hari semakin aku faham tingkahnya manusia. Semakin aku faham sebab ada suara suara sumbang mereka yang tidak mahu berkahwin. Manifestasi segenap penceritaan kertas kertas lama ini, akhirnya aku mula berfikir akan kemampuan diri. Suara suara yang menggalakkanku untuk cuba menghampiri para penghias dunia semakin mendiam. Perlu untuk ku pertimbangkan semula.

Setelah minggu kedua praktikal aku sempurnakan hari ini, aku merasakan mood bermurung ini perlu aku alihkan kearah yang lebih terancang. Maka ingin sekali aku dalam post ini untuk membuat sedikit review akan realiti perkahwinan yang bahagia. Oh sungguh aku berharap agar ia sedikit sebanyak dapat memujuk semula haati yang kian ragu ini. Maka diatas semangat perenggan pertama perutusan kali ini, ingin ku lampirkan gambaran gambaran perkahwinan yang kuharapkan kan kekal dan hanya bercerai dek seruan Tuhan untuk ke alam Barzakh.




Classmate ku di Kuliah of Syariah & Law, kakak Maryam Jameelah dan pasangannya Akh Sabiq



Super Senior kitorang Abang Hariri Daud




Abang Zahid dan kak Yan.




Classmate dari sekolah Hazirah Syamsuri bersama suami tersayang ustaz Khairul Jami' @ nama glamour nya Ust KJ.




Haaa.... Yang berdua nie memang Best friendku semasa menuntut di SAMT Kuala Kubu, Sahabat baikku Mohd Taufiq dan Rivalku time kelas Nahu Sorof Nur Diniy.




Ini juga teman teman rapatku di SAMT Kuala Kubu, Husaini @ Yaman, taukeh seludup keluar kitorang untuk "fly" dan isterinya Nur Fatin Lazim selaku tempat aku "pau" alat tulis (coz dia duduk belakang aku didalam kelas).




Dan yang terbaru, juga classmate dari alam persekolahan. Saiful Azri atau dengan nama yang kami senang untuk memanggilnya "Atok".

Dimusim cuti sekolah ini, sudah semestinya akan sampai timbunan kad kad perkahwinan. Undangan undangan yang tidak memadai kudrat seorang insan untuk laksanakan. Maka aku juga berharap agar timbunan timbunan kad perkahwinan ini kelak tidak menjadi timbunan timbunan kes yang perlu aku baca dan selesaikan didalam mahkamah.

Wahai para Pengemudi Bedar Perkahwinan (suami), elakkanlah bedarmu itu dari melalui lautan lautan yang ganas. Kerana akan kau dapati bedarmu itu asasnya kaca. Wahai Kelasi Kelasi Bedar, sentiasalah kalian perbaiki mana mana keretakan dalam bedar perkahwinan ini. Kerana sifatnya kaca pabila retak, ia akan terus merekah dan rapuh.

Khamis, 19 Mei 2011

Salahkah Aku Mengabaikan Dirinya (Monolog Nafsu)

Bismillah alldhi la ilaha illa hu.

Ini adalah kisah seorang syabab yang sempat kucatatkan perihal perkembangannya. Alhamdulillah syabab ini masih dapat aku kenali walau telah beberapa tahun tidak bertemu. Berbual panjang bercerita tentang hidup. Masing masing memilih jalan yang berlainan. Seorang yang riang kukenali sejak hari pertama kami ditemukan dalam minggu peralihan sebelum dilayakkan masuk ke tingkatan satu. Tetapi hari ini, beliau melahirkan rasa bersalah, sungguh sungguh rasa bersalah atas tindakan yang telah beliau pilih.

Kisah ini bermula lima tahun lalu. Sahabatku ini adalah seorang Timbalan ketua Umum (Timbalan ketua pengawas) yang sangat dikenali oleh warga sekolahku. Seorang yang ringan tulang dalam menguruskan perihal sekolah. Juga seorang yang cekap menguruskan ketua ketua pelajar (pengawas) lain dalam menetapkan tugas harian disekolah. Beliau memanipulasi setiap kemahiran yang beliau ada untuk memastikan aturan program sekolah tiada yang tergendala. Pendek kata, beliau adalah seorang pelajar contoh yang sering mendapat pujian pihak guru dalam usaha melicinkan urusan sekolah dan tarbiyyah.

Sekolahku adalah sebuah sekolah swasta, pelajarnya hanya sekadar 200 orang pelajar. Jumlah Banin (pelajar lelaki) dan Banat (pelajar perempuan) agak seimbang. Maka kurang lebih, pelajar lelaki hanya seramai 80 orang dan semestinya atas setiap ketua pelajar itu mengenali setiap seorang pelajar disekolah atas sebab kecilnya jumlah pelajar. Dari pelajar tingkatan lima sehingga pelajar baru tingkatan satu pasti dapat dikenal pasti namanya. Demikianlah kecilnya komuniti sekolahku.

Sekolahku mempunyai bi`ah yang baik. Perhubungan antara Banin dan Banat amat terhad. Jika para Ketua Pelajar dapat menghidu sebarang perhubungan yang tidak syar`ie, maka akan mereka diintip dan jika ternyata benar, maka mereka akan diserahkan kepada pihak BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) sekolah. Kami Badan Ketua Pelajar juga mendapat senarai nama pelajar yang bermasalah untuk kami perhatikan dan cuba diislahkan hati hati mereka. Antara nama nama itu, tersenarai juga nama seorang Banat ini.

Banat ini adalah seorang pelajar tingkatan 3. Wajahnya indah, senyumannya manis. Namun nama beliau tersenarai didalam senarai itu kerana pernah dilihat keluar bersama seorang lelaki di shopping complex berhampiran. Allah, sedih juga hati ku tatkala aku melihat report pelajar Banat ini. Bapanya seorang ustaz yang kukenali dikampungku. Sering juga aku menghadiri siri mau`izah yang cukup memberi kesan. Namun tiadalah sang bapa itu dapat mentarbiyyahkan anaknya lalu dihantar kesekolahku ini untuk diserapkan bi`ah solehah.

Terdapat beberapa hari dimana para guru terpaksa meninggalkan kelas untuk bermesyuarat. Maka sahabatku ini telah siap untuk menggerakkan para Ketua Pelajar untuk ke kelas kelas bagi mengawal keadaan dan mengisi kekosongan masa belajar itu dengan perkara yang dapat mendatangkan istifadah. Kebanyakan Ketua Pelajar yang ditugaskan ke kelas kelas akan mengarahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran, namun berbeza bagi sahabatku ini. Beliau akan memberikan kejutan bagi kelas yang dikunjunginya.

Kelas tingkatan 3 Umar, aku diminta sahabatku ini untuk menemaninya ke kelas itu. Setiap langkahku menuju kelas itu, aku terfikir gerangan kejutan apakah yang akan sahabatku ini beri. Tatkala tibanya kami kekelas itu, semua pelajar agak terkejut. Tiada disangka Ketua Umum dan Timbalannya akan menjaga kelas mereka. Ya, disinilah kelas Banat itu. Saat sahabatku ini mendapati pelajar semua kebingungan, dia maju kehadapan kelas, memberi salam dan membacakan sepotong syair:

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Syair Perahu, Hamzah Fansuri~

Semakin bingung pelajar mendengar bait syair yang agak asing itu. Beliau kemudian memberikan sedikit tazkirah berkaitan ciri ciri dan saranan yang perlu dipersiapkan oleh seorang penuntut ilmu. Ayat ayat yang tersusun rapi menjadikan sesi tazkirah selama satu jam itu ringan dan padat dengan butiran butiran nasihat yang membina. Aku sendiri terpegun dengan susunan dan method dakwah yang dibawa oleh sahabatku ini. Dalam kemurahan sahabatku ini melemparkan kalam kalam hikmah, ternyata sekeping hati telah tertarik untuk lebih mengenalinya.

Seminggu berlalu sejak hari kami menjaga kelas tingkatan 3 Umar. Sejak hari itu, Banat itu sering memerhatikan sahabatku ini. Ternyata hatinya telah terpaut untuk sahabatku yang ini. walaupun tiada sebarang perkataan yang sorih dari mulutnya, namun tingkahnya bersuara lebih kuat dari kalamnya. Pernah sekali aku terlihat Banat ini mengintai intai sesuatu dari balik pintu. Kusangkakan dia cuba mengelak dari Ust karim (guru disiplin sekolahku), tetapi ternyata dia sedang memerhatikan sahabatku menyapu sampah diruang koridor sekolah.

Peperiksaan PMR telah selesai. Bergembiralah para pelajar tingkatan 3 seusai peperiksaan mereka. Hari itu hari Khamis. Mereka berkumpul untuk meraikan hari bersejarah itu dengan mengadakan sedikit jamuan beserta doa selamat. Kami (aku dan sahabatku) telah dijemput untuk membacakan doa selamat atas selesainya peperiksaan mereka. Seusai program, kami meminta izin untuk beransur pulang. Seusai menyarung kasut, seseeorang menghampiri kami. Banat itu mendekati dan menghulurkan sepucuk surat buat sahabatku dan segera berlalu pergi.

Aku sangat mengerti maksud surat itu. Tampa sebarang kata, kami mengambil jalan masing masing menuju kerumah.

Keesokkan harinya,sahabatku membuka cerita. Beliau mengkhabarkan kepadaku isi surat itu dan ternyata andaianku benar. Banat itu meluahkan segala rasa hatinya kepada sahabatku. Banat itu juga mengakui bahawa dia sering tersasar dalam kehidupan seharian namun tidak pernah terlanjur lagi. Dia sangat bersyukur kerana bapanya menghantarnya kesekolah ini dan berharap sahabatku ini dapat memimpinnya kearah yang lebih cerah. Demikian isi surat yang diterimanya.

Sahabatku menyatakan bahawa dia tidak memerlukan sebarang perkara yang akan mengganggu konsentrasi. KPI nya masih panjang. Untuk menambahkan satu lagi perkara yang dianggapnya remeh itu, dirasakan tidak berbaloi. Aku dikhabarkannya bahawa hari keesokannya dia pergi untuk memberikan penjelasan kepada Banat itu. Banat itu menangis dan kecewa dengan jawapan yang diterimanya. Lamaran hatinya untuk bersama itu ditolak. Setelah aku bergraduasi dari sekolah, aku mendapat berita bahawa Banat itu tidak lagi menyambungkan pembelajarannya disekolahku lagi. Entah Sekolah mana pilihannya untuk terus menaiki tingkatan empat.

Baru baru ini, sahabatku memberi kepadaku link profil Facebook. Ternyata Banat itu tidak lagi dapatku kenali. Tudung labuh telah dipecatnya. Jubah longgar diganti baju ketat. Stokin entah kemana. Setelah diselidiki, beliau sedang mengambil kursus hotel dan bakering disalah sebuah kolej komuniti. Sahabatku merasakan diri bersalah kerana mengabaikan Banat ini. Betapa rapuhnya insan bergelar wanita ini dan tidap mampunya ia menangani impak. Berfikiran matang dan berharap kepada ilahi merupakan kunci agar sentiasa diatas jalan yang benar.

Pesanku pada sahabatku ini bahawa taqdir bukan urusan manusia. Bahkan tuhan telah mengaturkan plot plot dan jalan ceritanya. Manusia hanya mampu mengambil istifadah dan merungkai hikmah disebalik plot dan jalan cerita ini. Semua desiran atas sesalan hanyalah monolog yang berlaku antara iman dan nafsu. Sesungguhnya mula mula mempersoalkan taqdir akan membuka pintu pintu sangsi dengan aturan ilahi. Maka perbanyakkan istighfar dan gerakkan jiwa dakwahmu untuk membawa insan itu semula kejalan ilahi.


(Gambar ketika Form 3)

Wallahua'lam.

Ahad, 15 Mei 2011

Manifestasi Penceramahan Ulama'

Bismillah

Telah ditaqdirkan tuhanku atas diriku selaku hambanya untuk menerima setitik ilmu dari selaut makrifah tuhan yang maha agung pada hari ini. Atas perancangan tuhan yang mengatur putaran dan kordinasi sesuatu pertemuan, aku telah dipandu untuk ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di Shah Alam. Bersempena Kuliah Umum yang bakal membincangkan isu hangat "Qazaf" ini, As Syeikh Dr Wahbah Mustafa Az Zuhaily telah dijemput untuk memberi pencerahan.



Dr. Wahbah Az Zuhaily merupakan seorang ulama' yang alim dan tawaddu'. Didatangkan khas dari Dimasyq, Syria, beliau telah dipadatkan dengan tentatif lawatan yang panjang. Beliau erupakan seorang ulama' yang mempunyai kepakaran dalam bidang Fiqh telah menulis kitab kitab yang menjadi rujukan ummah mutakhir ini. Aku sendiri merujuk kepada kitabnya Al Wajiz fi Usul Fiqh dalam memahami konsep konsep asas dalam bidang Usul Fiqh.



Sebermula perjalanan ku dirumah, aku dapat merasakan bahawa firasatku mungkin benar. Beberapa perkara yang kurasakan dan kuharapkan ia disebut oleh as syeikh ternyata tidak mendukacitakan. Setibanya aku di masjid, corong corong speaker telah mula mengeluarkan gelombang gelombang ilmu. Suara enak yang loghat Terengganunya agak tenggelam membenarkan firasatku. Ternyata Dr Zulkifli Al Bakri adalah insan yang bertanggungjawab menterjemah kalam kalam ilmu yang dilontar assyeikh.

Oh betapa rindunya hati ini dengan belaian suara ulama'...

Dapatku simpulkan kalam Assyeikh kepada beberapa perkara:

1) Tiadalah sumpah Qazaf itu berkenaan dengan sumpah menafikan seorang lelaki itu berzina, tetapi hanya terpakai dalam kehakiman syarie dalam isu berkaitan suami menuduh isteri berzina dan si suami tidak dapat mendatangkan 4 orang saksi yang adil. Maka Allah mensyariatkan sumpah Qazaf keatas keduanya untuk membela diri dan berdasarkan hak mereka sesama suami dan isteri.

2) Sumpah Qazaf dan Mubahalah (melaknat orang) adalah sesuatu yang berbeza. Mubahalah yakni sumpah melaknat seseorang untuk menyatakan diri benar dan menuduh seseorang itu berbohong adalah sesuatu yang tidak boleh dilafazkan dengan sewenang wenangnya. Dalam sebuah peristiwa, datang seorang paderi kristian kepada nabi dan berdakyah bahawa mereka berada diatas kebenaran. Maka apabila diminta agar mereka bersumpah, ternyata mereka takut dan berkata: "Lebih baik kita tidak bersumpah, kerana jika benar dia adalah rasul maka akan celakalah kita" Demikian besar impak sumpah yang kini dianggap sebagai mainan politik kotor.

3) Assyeikh berpesan kepada umat islam agar memeriksa setiap berita yang mereka terima. Dan jika berita yang mereka terima adalah dari sumber yang diragui, maka janganlah berita itu diambil bulat bulat tampa usul periksa. Ini dapat diistifadahkan dari ayat Al Quran dalam surah Al Hujurat ayat 6: "Wahai orang orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang yang fasiq membawa khabar berita, maka keatas kamu untuk memeriksa kesahihan berita itu. Kerana takut takut kamu menimpakan keatas sesebuah kaum itu atas kejahilan kamu, dankamu akan dapati atas apa yang kamu kerjakan itu penyesalan."

4) Sesungguhnya atas tuduhan seseorang itu melakukan zina, maka mendatangkan 4 orang saksi yang adil adalah wajib, dan jika orang yang menuduh itu gagal untuk mendatangkan saksi, maka bersaksilah kamu bahawa mereka itu adalah dari puak yang mendustakan, fasiq dan munafiq. Ini adalah kalimah yang kunantikan keluar dari mulut assyeikh.

5) Assyeikh telah ditanya oleh seorang yang hadir tentang apakah perkara terbaik yang perlu DSAI lakukan untuk berhadapan situasi ini, adakah perlu DSAI bertindak membalas sumpah sebagai mana yang telah disaranankan oleh Dr. Juanda mufti Perlis. Assyeikh menjawab bahawa memadai atas DSAI untuk memohon pelindungan dari Allah dan menumpukan kepada perkara yang lebih penting dengan mengabaikan perkara remeh temeh seperti ini.

Asseikh telah diajukan banyak soalan tentang penerimaan video sebagai bahan bukti untuk dibawa kepada mahkamah syariah. Assyeikh menegaskan bahawa video tidak sama sekali diterima dalam penghakiman syarie dan hanya 4 orang saksi yang adil dapat mensabitkan hukuman zina keatas seseorang. Apabila soalan yang sama ditanya berulang kali, dengan nada yang agak tinggi assyeikh bertanya kepada sekalian jemaah yang hadir,: "Adakah kalian mahu mengikuti Syariat Syaitan atau Syariat Allah"...

Demikian pencerahan yang dapat aku konsikan diruang sempit ini. Banyak lagi titipan ilmu yang telah assyeikh sampaikan namun tidak dapat ku sampaikan diruangan ini. Aku sangat berharap agar kalian dapat mencari rakaman Kuliah Umum ini kerana ianya telah ternyata sabit disisi islam dan tidak perlu lagi diperbesarkan oleh masyarakat umum.

Astaghfirullah al Azim....

Rabu, 20 April 2011

System of a Down.

It has been a while since i post something in this page. I am very sorry for those who kept visiting my blog but found nothing that worth it to read. For the last 4 week, you may found out that my blog does not functioning smoothly. Actually i am working on some scripted code in the display setting for my blog. So you may found that some picture are missing and sometime the post itself is missing. I am still trying to repair some technical part which may take some time. Thus i want to make it official.

MY BLOG IS CURRENTLY UNDER SOME MAJOR RE-MODIFICATION.

I intend to delay several of my post until next month. Untill then, chiauo......

Selasa, 29 Mac 2011

Dia tersenyum.....

'Auzubillahi Min Syaitan Ar Rajim....

Senyum..... 4 tahun telah berlalu sejak aku mula mengenali riak wajah itu. Masih terlintas hari pertama minggu taaruf pelajar Tamhidi Undang Undang. Pertama kali ku memahami konsep kelas tutorial. Tutorial Dua. Kita bertemu disini. Sebuah dimensi ciptaan manusia yang menghimpunkan aku dan dia. Tempat bermula angan angan kosongku yang berupa cinta kera. Walau tiada sebarang kenyataan jelas dari bibir itu, aku meletakkan harapan semoga dia adalah insan itu.


Dimensi kecilku Tutorial 2 Tamhidi


Hari ini, senyum itu mengunjungiku lagi, merona fikiran memikirkan. Bertubi tubi panahan syaitan menusuk iman. Sepetang ku memikirkan rasional pesona senyuman itu. Walau membuak buak rasa resah menghentam namun masih tumbuh sekelumit rasa indah palsu meleka. Seusai solat asar, bersegera aku ke pusat sukan.

Bertemankan sahabat setia, ku capai busur dan anak panah. Terus ke lapang sasar untuk beriadah. Semester ini aku dan sahabat setia diamanahkan untuk menubuhkan kelab memanah di USIM. Berbekalkan pengalaman dalam pertandingan, adik adik junior kulatih kuasuh. Dan aku dapati aktiviti memanah ini melatih ku untuk lebih fokus.


Junior siswa yang hadir untuk meraikan sunnah dalam beriadhah.



Tiga anak panah kulepas. Menghujam ke sasaran hampir hampir mengenai tengah tengah sasaran. Bersedia untuk melepaskan anak panah ke empat. Fokus. Namun terlintas senyum yang menghantui ku hari ini. Anak panah kulepas, jauh tersasar. ku tersenyum puas. Fahamlah aku rasional senyum yang kuterima pagi ini.

Senyumnya seorang dia menandakan akan tenangnya hatinya dan tiadalah dia merasakan akan hadir fitnah jika senyum itu dihadiahkan kepadaku. Tiadalah aku ini tempat dihati seorang dia. Dia tidak mempunyai sebarang keraguan akan status seorang aku. Maka hari ini, angan angan kosongku selama empat tahun menutup tirai. Tiadalah lagi sebarang harap yang akan ku lempiaskan keatas seorang dia.

Kubersyukur padamu ilahi, kerna telah engkau tarik sebuah fitnah yang menimpaku lama dahulu dek jahilnya aku mencari jalan cinta yang benar. Ya Allah, jika bukan dia jodohku, aku redha....

Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina qurrata a'yun

Khamis, 17 Mac 2011

Secawan Kopi Satu Konklusi

Bismillah.

Jam 2 pagi. Masih berlegar sekitar rumah. Belum mahu tidur. Kususun pinggan pinggan didapur. Ku rapatkan pagar rumah. Terus ku kunci manganya. Masih belum mahu tidur. Secawan kopi ditangan kuhirup, masih panas. Angin malam membawa alamat hujan akan turun. Bertemankan kopi, aku duduk diluar rumah. Berfikir, muhasabah. Banyak pengalaman kuperoleh hari ini.

1. Strategi

Dalam urusan dakwah, jangan diredah membabi buta. Sebagai seorang dai'e dan mahasiswa, beratus halangan perlu di hadapi dengan ribuan helah. Kurangnya persediaan ini, maka anda adalah mangsa ratahan mudah puak penentang yang membenci pergerakan islam. Sesungguhnya musuh musuh anda terdiri dari pelbagai lapisan. Pegawai pegawai, siput babi siput babi, tidak terkecuali dari golongan mahasiswa sendiri. Maka awas ya ayyuha Dai'e.

Strategi perlu mapan, organisasi perlu kukuh. Berseorangan anda petanda urusan dakwah akan menjadi sukar. Berseorang anda bermakna anda bersalahan dari fitrah para pejuang agama tuhan yang sentiasa menerima naungan pencipta (yaddu allah 'ala jamaah). Ananiyah anda berarti anda seorang yang cetek ilmunya dan tidak matang pertimbangannya. Ini adalah kesimpulan yang dapat aku manfaatkan daripada peristiwa seorang sahabat dalam usahanya menyebar luaskan ajaran ilahi. Pengalaman ini akan ku abadikan untuk hari muka.

2. Diam



Dua orang sahabat sedang berbincang. Perbincangan akademik kononnya. Susun susun ayat dan nada yang zahir membuatkan aku faham. Emosi dasarnya akademik permukaannya. Kosmetik dan palsu. Telah berlanjutan selama beberapa hari dalam minggu ini. Seorang berhujah atas kajian (ada yang dakwa kajiannya "bias"). Seorang pakar manipulasi ayat. Oh sungguh bukan aku ahli dalam dua kemahiran ini. Beberapa kali cuba ku leraikan, namun ternyata aku pula menjadi bahan dek kurangnya ilmu.

Semakin lama semakin memuncak. Masing masing tidak beralah. Mujur masih wajar akal sahabat sahabat ku ini. Tiadalah percanggahan fahaman ini berakhir dengan sebarang sentuhan fizikal. "Perbincangan Akademik" mereka itu akhirnya dicelah seorang sahabat. Bukanlah sahabat ini jenis yang aktif dalam membahas perkara. Tiga perkataan melerai suasana yang tegang. "Sollu 'ala Nabi....". Fahamlah aku sebuah lagi keharmonian alam susunan tuhan. Bukanlah diam sahabat ketiga itu berarti kosong dalamnya. Tapi beramallah dia akan hadith nabi :Berkatalah kamu yang baik baik atau diam.

3. Siap siaga

Hidup seorang muslim, alam seorang pelajar, hari seorang pemimpin, semuanya terkandung halangan dan risiko untuk terus maju. Maka bersiap siaga adalah bekalan wajib harian. Jam 12 tengah hari, aku sedang bersenang dan mencuba menjawab soalan soalan criminal law. Beberapaorang rakan sedang bersiap untuk program Pelancaran Latihan Mut secara berkala. Mereka mencari sedikit kelainan untuk majlis itu dan tidak mahu ia menjadi sebuah majlis yang sangat formal dan berprotokol. Maka mereka bercadang untuk membuat sedikit gimik pelancaran.



Disebabkan aku adalah pelajar yang paling malas dan mempunyai masa yang sangat luas untuk dibazirkan, mereka menjemput aku untuk menjayakan gimik majlis. Aku disuruh berpakaian sut peguam dan perlu tampil ke pentas utama untuk menghantar dokumen untuk ditanda tangan oleh dekan sebagai tanda rasminya Pelancaran Latihan Mut berkala. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Next time, entah bila, aku perlu lebih bersedia dalam apa bidang atau ruang jika bantuan ku diperlukan.

Hirupan terakhir kopi malam ini ku nikmati penuh. Semoga hari esok kan mengajar ku lebih banyak perkara baru. Konklusi konklusi hasil pemerhatian ini tidak menolak kebarangkalian ia ditolak. Sehingga ruang masa yang terluang.

Wallahua'lam.

Selasa, 15 Mac 2011

Debu Debu Perkampungan Arqam

Bismillah.

Dalam kesayuan melihat timbunan debu di blog yang telah ditinggal lama, aku mulakan semula tekad hati menuntun semua qudrat untuk berkongsi. Maka kesemua jari jemari ku mula menari diatas keyboard menaip kalimah kalimah yang diharapkan dapat membawa semula manfaat yang selama ini kudakap erat dan berdiam.

Sempat menghadiri barnamij (program) Bedah buku anjuran Jaksa Kolej Kediaman dengan kerjasama para pelajar Tahun Tiga Fiqh dan Fatwa beberapa minggu lalu. Dua kitab yang menjadi pilihan penganjur adalah "Arqam: tersungkur di Pintu Syurga" dan "Al Maunah". Kutaib (buku kecil) yang telah kuhadam semasa dibangku sekolah ini kembali menjengah di layar minda. Pelik, mengapa buku yang telah sekian lama diterbit dan semestinya telah berhabuk di rak buku itu menjadi pilihan ikhwah ini....?



Penulis sendiri talah hadir untuk program bedah buku kali ini. Saudara Zabidi Mohammad dan Ust Ann Wann Seng sempat meluangkan masa mereka untuk tiba dihujung dunia Nilai untuk membuat autopsi keatas buku karangan mereka. Menghadiri program, berbicara tentang jamaah, membuatkan aku sering bernostalgia tentang masa yang lampau.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai fahaman yang sederhana tentang agama. Dalam silsilah keluarga bapaku, Pak long ku adalah antara yang menjurus dalam bidang agama. Arwah (al fatihah) merupakan seorang ahli jemaah Arqam. Mempunyai empat orang isteri dan anak yang dianggarkan 40 orang ( tak sure coz ramai sangat ). Usrah sakinah ini sangat unik padaku ketika itu (baru berumur 8 tahun).



Bukanlah tujuan post kali ini untuk menceritakan fasal Arqam tetapi lebih kepada suasana dan cara hidup ahli ahli Arqam yang berkampung di Kampung Sungai Penchala. Saat saat yang manis dalam ingatan seorang anak kecil bernama aku kebanyakannya berlatarkan perkampungan ini. Mereka yang pernah menyuburkan perkampungan ini kini hilang dan lenyap dari muka bumi Allah.



Perkampungan yang dari perpektif aku tidak mempunyai unsur unsur kekotoran dunia luar itu tersangatlah indah. Muslimat muslimat keluar dari rumah dengan serba lengkap tertutup auratnya. Tiada fitnah yang datang dari susuk tubuh seorang wanita apabila semua pintu pintu mehnah tertutup rapi. Laungan laungan nasyid dan bacaan ayat suci al Quran dari corong corong speaker menghidupkan lagi rasa bertuhan kepada pemilik telinga.



Antara perkara yang menjadi kerinduan ku pada perkampungan itu ialah suasana hari raya yang meriah. Insan saling berkunjungan mengerat silaturahmi, bermaafan dan menghayati maksud Aidilfitri. Anak anak kecil berlarian sesama jiran berkejaran dengan ceria. Ya Allah tidak ku sangka, fitnah telah kau utus atas ahli qaryah ini atas kesesatan pemimpin mereka.



Hari ini, hanya debu debu tarbiyah berterbangan diperkampungan itu...

Anak anak hasil didikan jemaah itu terbiar dan turut terhanyut dengan arus globalisasi dunia yang deras. Saudara saudara rapatku yang bersamaku bermain riang dibawah lembayung "Islam" itu tiada ku kenal lagi. Teramat besarlah kesannya dunia ini keatas mereka. Yang masih kekal berorganisasi semakin hanyut dengan kesesatan desakan nafsu yang tidak pernah puas.

" Ya Allah, jangan kau datang kan lagi fitnah sedemikian rupa keatas ummah yang kian rapuh tampa pegangan agama yang kukuh ini."

Wallahua'lam.

Ahad, 16 Januari 2011

Ustaz Siber Muqallid Alam Nyata

Bismillah...

Setelah hampir dua bulan blog ini sunyi, tanpa sebarang post bermanfaat buat semua, pertama tamanya izinkan pemilik blog memohon ampun. Terlampau banyak taklifat dan mawani' (halangan) yang tak dapat diri ini elakkan. Maka setelah sekian lama, diri terasa perlu untuk kembali ke medan dakwah siber.

Perutusan kali ini ingin membincangkan tentang suatu fenomena yang telah terlalu lama sejarah perbahasannya. Tetapi rasanya perlu diulas semula dengan input input semasa. Ruangan ruangan dunia siber dewasa ini banyak menyediakan platform untuk muslim mukmin berdakwah dan menyebarkan ilmu islam. Internet menjadi suatu lapangan yang terbaik buat perkembangan islam.

Beberapa minggu lalu, diri ini terasa telah menemui kekurangan dan kelemahan lapangan internet yang terbentang luas. Ya Allah, bahaya benar lapangan ini sebenarnya. Ternyata agenda musuh musuh islam dalam menyediakan lapangan ini telah menampakkan kesan keatas diriku yang cuba untuk menegakkan syiar islam. Tak kusangka begitu licik perancangan mereka. Ya Allah bantulah hambamu ini untuk mengatasi kelemahan diri.

Disember lalu, diri ini telah keluar bersama ahli ahli usrah untuk turun kemedan dakwah sebenar. Turun menemui sasaran sasaran dakwah. Berbekalkan pengisian pengisian yang dipupuk sejak awal, diri yakin untuk berdakwah secara terang terangan. Kawasan sasaran pertama adalah remaja remaja dikawasan Wangsa Maju dan sekitarnya. Berlatar belakangkan pendidikan asas dan Fardhu Ain, remaja remaja ini sering terkhilaf dalam membezakan halal haram tuhan.



Kumpulan pertama terdiri daripada naqib sendiri dan 2 orang lagi teman. Kami berempat menuju ke kawasan pusat membeli belah di Alpha Angle. Selain daripada membuat sedikit sesi temu ramah untuk questionnaire kami cuba untuk memberikan kesedaran kepada mereka. Akhirnya tiba giliran diri untuk memberikan sedikit tazkirah kepada mereka. Ya Allah engkau sahaja tahu akan kondisi ku saat itu. Lidah ku kelu dan tidak dapat memberikan mauizah kepada mereka. Ternyata bagiku, penulisan teramatlah mudah berbanding ucapan dari mulut.

Akhirnya ku sedari ruangan blog yang sering kulempiaskan sebagai medium dakwah tidak sama sekali membantuku untuk menyedarkan masyarakat. Ruang dunia siber telah mematikan kemahiran ku untuk memberikan satu sesi persuasive speech kepada sasaran dakwah. Perkara yang sama kudapati kepada penggemar penggemar laman web sosial Facebook. Mereka yang aktif memberikan komen, berkomentar seakan dia lah jaguh, adalah seorang yang pendiam, penakut dan hidup tanpa memberikan sumbangan kepada masyarakat sekeliling.



Minggu lalu, diri ini sempat berbicara dengan Umar tentang kebaikan internet sebagai penambah dan penjaga ilmu. Statement beliau membuatkan diri berfikir panjang dan berakhir dengan kekeliruan yang bercelaru, memang dah standard Umar jauh lebih tinggi berbanding diri. " Internet bukanlah medium menambah ilmu, malah medium menghancur jahanamkan ilmu." Pusing kepala memikirkan penjelasan logikal dengan statement sedemikian.

Akhirnya bila ditanyakan locus standi nya, ujar beliau bahawa akan sampai suatu masa diamana Dajjal terbit di bumi, maka segala sistem akan musnah dan perlunya rujukan rujukan ilmu itu berteraskan hasil penulisan diatas lembaran kertas dan kitab kitab turath. Maka ternyata disaat itu, blog ini tidak akan dapat lagi dirujuk atas segenap kekhilafan. Maka pada saat itu, Ustaz alam siber akan bertukar statusnya kepada muqallid yang tidak mempunyai masdar rujukan ilmu.

Wallahua'lam...

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!