Ahad, 31 Julai 2011

Embun Awal Ramadhan

Bismillah...

Detik ini, aku bersyukur, masih bernafas. Walau seribu dosa aku lakukan sehari hari, aku masih dipertemukan dengan Ramadhan. Alhamdulillah, Allahu Akbar. Bersama senafas panjang, akan aku persiapkan satu tekad padu untuk tidak lagi lalai tahun ini. Pengalaman mengajarku bahawa, setiap detik di Madrasah Ramadhan akan mengheret pergi semangat dan azam Muslimin akhir zaman untuk terus cekal beramal. Maka adakah pengalaman ini dapat aku istifadahkan secara tuntas untuk kekal dengan sinergi ibadah hingga keakhir. Melangkah keluar, embun embun telah mulai menerjah awal Ramadhan.



Seperti dijangka hari ini masjid dan surau penuh. Seusai tiba diperkarangan surau, motorsikal ditongkat, sejadah dibentang. Malam ini, aku bersolat Terawikh sebaris dengan saf motor. Tiada lagi tempat untuk aku maju kehadapan dek penuhnya manusia yang mencari Ramadhan diawal awal minggu. Kebetulan hari ini aku berseorangan dirumah kerana seisi keluarga ke Masjid Al Falah USJ untuk bertarawikh yang berimamkan Sheikh Jibril dari mesir. Imam Besar Masjid Amru Ibn "Asr di mesir itu mempunyai suara yang garau garau merdu. Dengki.

Tahun ini, aku telah persiapkan satu set jadual yang perlu aku teliti dan patuh setaatnya. Atas berkah Madrasah ini, aku berharap untuk lebih mendisiplinkan diri dalam disiplin ibadah. Walau kelihatan remeh, tetapi masa yang terluang luas ini jika tidak diurus, oh alangkah malang dan sia sia. Terlalu banyak kebarangkalian masa ini aku zalimi dan kelak pasti tidak dapat dijawab dihadapan tuhan yang sentiasa memerhati. Internet, Tv, lebih lebih lagi Buraq (motor) ku sentiasa taat dan bersedia pada bila bila masa untuk terbang bersamaku kedestinasi yang tiada sempadannya.

Buat pengakhiran, telitilah kalam jungjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Rasul sentiasa berpesan agar kita menghidupkan siang Ramadhan dengan zikir dan tilawah, dan bangun dimalam harinya untuk mentadabur al Quran dan berqiam. Kerana sesungguhnya pada mengimarahkan Ramadhan itu, Allah akan mengampunkan dosa dosa umat umatnya yang mahu bertaubat. Dan kejarlah satu malam yang dijanjikan nikmat. Malam yang dihadiahkan hanya untuk ummat Muhammad. Alangkah beruntung mereka yang menemuinya. Semoga saat embun pagi Syawal menyapa dedaun segar, tiadalah terkesan dari hati gelap insan insan yang bertuah, calar dan parut maksiat silam.

Wallahua'lam.

2 comments:

Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...

terbaik..tapi masih penat untk dibaca..kohkoh

Ahmad Ridhwan berkata...

menanti masa dan detik untuk berguru dengan a'lim dalam penulisan berkesan. minta diperkenan

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!