Ahad, 8 Februari 2009

Saat Al Khaliq Menghampirimu

Sehari harian kita meneruskan kehidupan demi menyahut seruan nabi membangunkan islam yang kian ditindas. Kita giat memikirkan inisiatif baru untuk menjadikan Ad Din ini sebuah cara kehidupan yang proaktif dan tidak regik atas permasaalahan hukum semata mata. Sebagai pemimpin yang memahami Islam, tugas ini telah menjadi rutin harian mereka. Namun, masih ada segolongan manusia yang menggelar diri mereka sebagai pemimpin namun mereka sebenarnya perlu dipimpin.

Sebagai golongan majoriti, pemuda masa kini turut serta menjunjung panji panji islam. Hasilnya maka lahirlah firqah-firqah dan usrah-usrah yang menjalankan usaha dakwah sesama mereka. Kesan pengaruh mereka tidak lagi dianggap remeh dan menjadi titik penentu tunggak kepimpinan negara kelak. Maka sedikit demi sedikit, pengaruh politik menyusup masuk ke institusi pengajian tinggi. Kemunculan pihak Pro Aspirasi dan Gerakan Mahasiswa menandakan remaja dewasa kini sudah matang untuk mempersediakan diri mereka ke lembah politik.

Namun urusan ukhrawi perlu diutamakan. Ibadah menjadi suatu keutamaan. Sebagaimana firman Allah dalam kitab nya yang suci, " ...sesungguhnya tidaklah kami menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada kami...". Dan dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa apabila kita menghampiri Allah secara berjalan, maka allah akan menghampiri kita dengan berlari. Bilakah saat allah menghampiri kita?

Perbahasan para ulama' tentang tempat duduknya Allah sangat luas. Bermula dengan asas yang maklum, bahawa Allah menyalahi makhluk dengan setiap sesuatu pun daripada urusan rupa, sifat, perbuatan dan seumpamanya. Maka cara Allah menghampiri hambanya berbeza dengan cara manusia menghampiri sahabatnya. Tiadalah kita mengetahui duduk benarnya sifat Allah melainkan apa yang diberitahu oleh Al quran dan As Sunnah.

Pendapat yang pertama menyatakan Allah paling hampir dengan hambanya tatkala solat hambanya pada ketika dia membaca ayat kelima surah al fatihah. Huruf 'kaf' pada kalimah 'iyyaka' memberi makna mukhatab.'kaf' mukhatab memberi makna qarib( hampir). Huruf 'kaf' disini memberi makna 'engkau'. Pada logik akalnya kita menggunakan kalimah engkau ketika bercakap dengan orang yang dekat dengan kita. Maka pada makna logik manusia Allah berada paling hampir dengan hambanya pada saat itu.

Pendapat kedua pula menyatakan, sesungguhnya Allah paling hampir dengan hambanya saat hambanya bangun bertahajjud dalam qiyam nya mengesakan Allah rabbul alamin. Pendapat ini bersandarkan kepada hadith nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah akan turun kelangit dunia yang paling bawah di sepertiga malam yang akhir lalu menyeru: Adakah terdapat sesiapa di kalangan hambaku yang berdoa kepada ku maka akan aku kabulkan, Barang siapa yang meminta kepada ku akan ku perkenan kan, Barang siapa yang memohon ampun dariku akan ku ampunkan. Hadith riwayat Muslim.

Banyak lagi pendapat ulama' dan cerdik pandai islam yang dapat kita peroleh. Namun pendedahan ini boleh merosakkan aqidah umat islam jika tidak mempunyai bekal iman yang kukuh. Jesteru saya menyeru sekalian pembaca agar meneruskan penyelidikan anda tentang perkara ini agar tidak tersesat dan salah faham tentangnya. Perkara yang berkait dengan urusan tauhid perlu didalami kerana ia berbeza dengan perkara hukum yang harus bagi orang awam bertaqlid padanya, kerana urusan tauhid menuntut ijtihad dengan nas-nas yang sabiq.

wallahua'lam bissawa'.

jika ada sebarang kesalahan harap ditegur.

2 comments:

Ibnu Al-'Abd berkata...

Sememangnya tulisan yang bersifat ilmiah. Teruskan menulis. Cuma ada typing error sikit; Regik-Rigid dan Sawa'- Sawab. Salam alaik.

Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...

Penggunaan dhamir mukhatab bukan sahaja bermaksud kedekatan, malah menunjukkan Allah Tabaraka wa Taala merendahkan taraf Keagungan-Nya secara majazi supaya manusia dapat memahami kalam-kalam-Nya dan bertadabbur dengan makna yang tersirat. Jika Allah tidak melakukan sedemikian, nescaya pakar bahasa mana-mana pun tidak akan faham bahasa samawi yang Allah gunakan dek menunjukkan keagungan-Nya. Alangkan bahasa istana pun "mandi" disebut "bersiram" dan "tidur" disebut "beradu". Tetapi Allah sangat baik atas makhluk-Nya lantas meletakkan methodologi mudah kepada makhluk yang ingin menghubungi-Nya..Tetapi keadaan ini tidak sekali-kali merendahkan keagungan Allah sebagai Tuhan sekalian Alam.

"ditafsir secara bebas dari mauidzah TG Nik Aziz Nik Mat.

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!