Selasa, 24 Januari 2012

Belajarlah dari Sirah

Bismillah.

Segala puji bagi tuhan pentadbir sekalian alam. Tuhan yang berkuasa memberi dan menarik semula kekuasaan yang diberi kepada makhluk. Tuhan yang menetapkan bahawa akan tiba hari ini. Hari dimana engkau tiada lagi sebarang posisi dalam karier politik. Hari dimana kerajaan berjaya memutuskan tali perhubunganmu bersama jamaah ini menentang pemerintahan yang menindas.



Datuk Dr. Hassan Ali, seorang individu yang aku hormati. Aku masih menghormati beliau selagi mana beliau tidak menyertai UMNO. Bersama sama meraikan kemenangan Pakatan Rakyat keatas Selangor merupakan sebuah kenangan terindah saat bersama dalam satu jamaah. Diberi mandat selaku seorang yang bertanggungjawab atas perihal agama dan adat melayu, Dr. Hassan menjadi satu ikon dalam mengimarahkan urusan perihal Islam di Selangor.



Ternyata permainan mereka tersangat licik. Mengipas api didalam sekam yang meruap ruap naik. Yang kemudian membara membakar dalam diam. Dan bila mana ia sampai memuncak, tiada dapat lagi dibendung. Isu demi isu bangkit semula. Engkaulah perwira yang memperjuangkan aqidah umat saat nasrani berdakyah. Engkaulah penegak kalimat menumpah arak arak dijalanan. Namun ternyata parti kolot telah dipengaruhi peliwat jijik. Engkau dibuang secara terhormat. Oh demikian laporan akhbar akhbar berkepentingan kerajaan.

Hari ini, Majlis Syura telah menetapkan bahawa Dr. Hassan perlu dipecat dari parti. Presiden Pas tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan keputusan itu dengan tenang. Sebuah pemergian yang teramat merugikan Pakatan Rakyat. Sebuah aset yang pasti didatangi oleh pihak kerajaan. Semestinya menjadi isu yang bakal diguna dalam setiap kursus BTN. Dr. Hassan dilihat menerima keputusan ini dengan sedikit rasa tidak berpuas hati. Cyber troopers disegenap ruang media elektronik terus menerus menyalurkan bahan perang saraf. Facebook menjadi sebuah medan pertempuran yang memperlihatkan pertembungan fahaman ideologi pro kerajaan vs pembangkang.

Dr. Hassan, satu nasihat ku kepada mu. Belajarlah dari Sirah.

Hayatilah kisah Khalid al Walid r.a ketika beliau dipecat daripada jawatannya sebagai seorang Panglima Agung Islam. Saidina Umar mengambil langkah yang dilihat ummah ketika itu sebagai satu langkah yang merugikan kepentingan Islam. Sirah memperlihatkan seolah olah dua tokoh ini bercakaran dan berakhir dengan pemecatan seorang ikon perang yang digeruni.

Siapa tidak kenal dengan Saidina Umar al Khattab, seorang khalifah yang tegas. Mana mana jalan yang dilalui oelh Saidina Umar tidak akan dilalui oleh syaitan. Khalifah yang mempunyai hati yang lembut dan sering menyantuni rakyat. Dan siapa yang bisa menafikan kehandalan Khalid al Walid, seorang strategis Islam unggul. Tiada satu peperangan yang berakhir dengan kekalahan Khalid. Seorang panglima yang membawa jolokan Saifullah al Masyhur. Pedang Allah yang tidak bisa tertahan oleh mana mana baju besi.

Namun setiap tindakan yang diambil Khalifah semestinya berasas dan demi kemaslahatan sejagat. Mengerti akan hakikat ini, Khalid al Walid terus memberikan baiah dan menerima arahan daripada Panglima Islam yang baru ketika itu dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah. Seorang pemuda yang disifatkan Rasul sebagai orang kepercayaan umat akhir zaman. Tenang hati Khalid saat menerima berita pemecatan itu. Khalid bertegas dan dalam ucapannya "Aku berjuang demi Islam, bukan demi Umar".

Semoga pilihan yang bakal diambil dapat memberi manfaat kepada umat. Ingatlah bahawa tuhan telah berpesan, " Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah engkau meleraikan diri darinya"...

Wallahua'lam.

0 comments:

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!