Khamis, 19 Mei 2011

Salahkah Aku Mengabaikan Dirinya (Monolog Nafsu)

Bismillah alldhi la ilaha illa hu.

Ini adalah kisah seorang syabab yang sempat kucatatkan perihal perkembangannya. Alhamdulillah syabab ini masih dapat aku kenali walau telah beberapa tahun tidak bertemu. Berbual panjang bercerita tentang hidup. Masing masing memilih jalan yang berlainan. Seorang yang riang kukenali sejak hari pertama kami ditemukan dalam minggu peralihan sebelum dilayakkan masuk ke tingkatan satu. Tetapi hari ini, beliau melahirkan rasa bersalah, sungguh sungguh rasa bersalah atas tindakan yang telah beliau pilih.

Kisah ini bermula lima tahun lalu. Sahabatku ini adalah seorang Timbalan ketua Umum (Timbalan ketua pengawas) yang sangat dikenali oleh warga sekolahku. Seorang yang ringan tulang dalam menguruskan perihal sekolah. Juga seorang yang cekap menguruskan ketua ketua pelajar (pengawas) lain dalam menetapkan tugas harian disekolah. Beliau memanipulasi setiap kemahiran yang beliau ada untuk memastikan aturan program sekolah tiada yang tergendala. Pendek kata, beliau adalah seorang pelajar contoh yang sering mendapat pujian pihak guru dalam usaha melicinkan urusan sekolah dan tarbiyyah.

Sekolahku adalah sebuah sekolah swasta, pelajarnya hanya sekadar 200 orang pelajar. Jumlah Banin (pelajar lelaki) dan Banat (pelajar perempuan) agak seimbang. Maka kurang lebih, pelajar lelaki hanya seramai 80 orang dan semestinya atas setiap ketua pelajar itu mengenali setiap seorang pelajar disekolah atas sebab kecilnya jumlah pelajar. Dari pelajar tingkatan lima sehingga pelajar baru tingkatan satu pasti dapat dikenal pasti namanya. Demikianlah kecilnya komuniti sekolahku.

Sekolahku mempunyai bi`ah yang baik. Perhubungan antara Banin dan Banat amat terhad. Jika para Ketua Pelajar dapat menghidu sebarang perhubungan yang tidak syar`ie, maka akan mereka diintip dan jika ternyata benar, maka mereka akan diserahkan kepada pihak BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) sekolah. Kami Badan Ketua Pelajar juga mendapat senarai nama pelajar yang bermasalah untuk kami perhatikan dan cuba diislahkan hati hati mereka. Antara nama nama itu, tersenarai juga nama seorang Banat ini.

Banat ini adalah seorang pelajar tingkatan 3. Wajahnya indah, senyumannya manis. Namun nama beliau tersenarai didalam senarai itu kerana pernah dilihat keluar bersama seorang lelaki di shopping complex berhampiran. Allah, sedih juga hati ku tatkala aku melihat report pelajar Banat ini. Bapanya seorang ustaz yang kukenali dikampungku. Sering juga aku menghadiri siri mau`izah yang cukup memberi kesan. Namun tiadalah sang bapa itu dapat mentarbiyyahkan anaknya lalu dihantar kesekolahku ini untuk diserapkan bi`ah solehah.

Terdapat beberapa hari dimana para guru terpaksa meninggalkan kelas untuk bermesyuarat. Maka sahabatku ini telah siap untuk menggerakkan para Ketua Pelajar untuk ke kelas kelas bagi mengawal keadaan dan mengisi kekosongan masa belajar itu dengan perkara yang dapat mendatangkan istifadah. Kebanyakan Ketua Pelajar yang ditugaskan ke kelas kelas akan mengarahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran, namun berbeza bagi sahabatku ini. Beliau akan memberikan kejutan bagi kelas yang dikunjunginya.

Kelas tingkatan 3 Umar, aku diminta sahabatku ini untuk menemaninya ke kelas itu. Setiap langkahku menuju kelas itu, aku terfikir gerangan kejutan apakah yang akan sahabatku ini beri. Tatkala tibanya kami kekelas itu, semua pelajar agak terkejut. Tiada disangka Ketua Umum dan Timbalannya akan menjaga kelas mereka. Ya, disinilah kelas Banat itu. Saat sahabatku ini mendapati pelajar semua kebingungan, dia maju kehadapan kelas, memberi salam dan membacakan sepotong syair:

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Syair Perahu, Hamzah Fansuri~

Semakin bingung pelajar mendengar bait syair yang agak asing itu. Beliau kemudian memberikan sedikit tazkirah berkaitan ciri ciri dan saranan yang perlu dipersiapkan oleh seorang penuntut ilmu. Ayat ayat yang tersusun rapi menjadikan sesi tazkirah selama satu jam itu ringan dan padat dengan butiran butiran nasihat yang membina. Aku sendiri terpegun dengan susunan dan method dakwah yang dibawa oleh sahabatku ini. Dalam kemurahan sahabatku ini melemparkan kalam kalam hikmah, ternyata sekeping hati telah tertarik untuk lebih mengenalinya.

Seminggu berlalu sejak hari kami menjaga kelas tingkatan 3 Umar. Sejak hari itu, Banat itu sering memerhatikan sahabatku ini. Ternyata hatinya telah terpaut untuk sahabatku yang ini. walaupun tiada sebarang perkataan yang sorih dari mulutnya, namun tingkahnya bersuara lebih kuat dari kalamnya. Pernah sekali aku terlihat Banat ini mengintai intai sesuatu dari balik pintu. Kusangkakan dia cuba mengelak dari Ust karim (guru disiplin sekolahku), tetapi ternyata dia sedang memerhatikan sahabatku menyapu sampah diruang koridor sekolah.

Peperiksaan PMR telah selesai. Bergembiralah para pelajar tingkatan 3 seusai peperiksaan mereka. Hari itu hari Khamis. Mereka berkumpul untuk meraikan hari bersejarah itu dengan mengadakan sedikit jamuan beserta doa selamat. Kami (aku dan sahabatku) telah dijemput untuk membacakan doa selamat atas selesainya peperiksaan mereka. Seusai program, kami meminta izin untuk beransur pulang. Seusai menyarung kasut, seseeorang menghampiri kami. Banat itu mendekati dan menghulurkan sepucuk surat buat sahabatku dan segera berlalu pergi.

Aku sangat mengerti maksud surat itu. Tampa sebarang kata, kami mengambil jalan masing masing menuju kerumah.

Keesokkan harinya,sahabatku membuka cerita. Beliau mengkhabarkan kepadaku isi surat itu dan ternyata andaianku benar. Banat itu meluahkan segala rasa hatinya kepada sahabatku. Banat itu juga mengakui bahawa dia sering tersasar dalam kehidupan seharian namun tidak pernah terlanjur lagi. Dia sangat bersyukur kerana bapanya menghantarnya kesekolah ini dan berharap sahabatku ini dapat memimpinnya kearah yang lebih cerah. Demikian isi surat yang diterimanya.

Sahabatku menyatakan bahawa dia tidak memerlukan sebarang perkara yang akan mengganggu konsentrasi. KPI nya masih panjang. Untuk menambahkan satu lagi perkara yang dianggapnya remeh itu, dirasakan tidak berbaloi. Aku dikhabarkannya bahawa hari keesokannya dia pergi untuk memberikan penjelasan kepada Banat itu. Banat itu menangis dan kecewa dengan jawapan yang diterimanya. Lamaran hatinya untuk bersama itu ditolak. Setelah aku bergraduasi dari sekolah, aku mendapat berita bahawa Banat itu tidak lagi menyambungkan pembelajarannya disekolahku lagi. Entah Sekolah mana pilihannya untuk terus menaiki tingkatan empat.

Baru baru ini, sahabatku memberi kepadaku link profil Facebook. Ternyata Banat itu tidak lagi dapatku kenali. Tudung labuh telah dipecatnya. Jubah longgar diganti baju ketat. Stokin entah kemana. Setelah diselidiki, beliau sedang mengambil kursus hotel dan bakering disalah sebuah kolej komuniti. Sahabatku merasakan diri bersalah kerana mengabaikan Banat ini. Betapa rapuhnya insan bergelar wanita ini dan tidap mampunya ia menangani impak. Berfikiran matang dan berharap kepada ilahi merupakan kunci agar sentiasa diatas jalan yang benar.

Pesanku pada sahabatku ini bahawa taqdir bukan urusan manusia. Bahkan tuhan telah mengaturkan plot plot dan jalan ceritanya. Manusia hanya mampu mengambil istifadah dan merungkai hikmah disebalik plot dan jalan cerita ini. Semua desiran atas sesalan hanyalah monolog yang berlaku antara iman dan nafsu. Sesungguhnya mula mula mempersoalkan taqdir akan membuka pintu pintu sangsi dengan aturan ilahi. Maka perbanyakkan istighfar dan gerakkan jiwa dakwahmu untuk membawa insan itu semula kejalan ilahi.


(Gambar ketika Form 3)

Wallahua'lam.

Ahad, 15 Mei 2011

Manifestasi Penceramahan Ulama'

Bismillah

Telah ditaqdirkan tuhanku atas diriku selaku hambanya untuk menerima setitik ilmu dari selaut makrifah tuhan yang maha agung pada hari ini. Atas perancangan tuhan yang mengatur putaran dan kordinasi sesuatu pertemuan, aku telah dipandu untuk ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di Shah Alam. Bersempena Kuliah Umum yang bakal membincangkan isu hangat "Qazaf" ini, As Syeikh Dr Wahbah Mustafa Az Zuhaily telah dijemput untuk memberi pencerahan.



Dr. Wahbah Az Zuhaily merupakan seorang ulama' yang alim dan tawaddu'. Didatangkan khas dari Dimasyq, Syria, beliau telah dipadatkan dengan tentatif lawatan yang panjang. Beliau erupakan seorang ulama' yang mempunyai kepakaran dalam bidang Fiqh telah menulis kitab kitab yang menjadi rujukan ummah mutakhir ini. Aku sendiri merujuk kepada kitabnya Al Wajiz fi Usul Fiqh dalam memahami konsep konsep asas dalam bidang Usul Fiqh.



Sebermula perjalanan ku dirumah, aku dapat merasakan bahawa firasatku mungkin benar. Beberapa perkara yang kurasakan dan kuharapkan ia disebut oleh as syeikh ternyata tidak mendukacitakan. Setibanya aku di masjid, corong corong speaker telah mula mengeluarkan gelombang gelombang ilmu. Suara enak yang loghat Terengganunya agak tenggelam membenarkan firasatku. Ternyata Dr Zulkifli Al Bakri adalah insan yang bertanggungjawab menterjemah kalam kalam ilmu yang dilontar assyeikh.

Oh betapa rindunya hati ini dengan belaian suara ulama'...

Dapatku simpulkan kalam Assyeikh kepada beberapa perkara:

1) Tiadalah sumpah Qazaf itu berkenaan dengan sumpah menafikan seorang lelaki itu berzina, tetapi hanya terpakai dalam kehakiman syarie dalam isu berkaitan suami menuduh isteri berzina dan si suami tidak dapat mendatangkan 4 orang saksi yang adil. Maka Allah mensyariatkan sumpah Qazaf keatas keduanya untuk membela diri dan berdasarkan hak mereka sesama suami dan isteri.

2) Sumpah Qazaf dan Mubahalah (melaknat orang) adalah sesuatu yang berbeza. Mubahalah yakni sumpah melaknat seseorang untuk menyatakan diri benar dan menuduh seseorang itu berbohong adalah sesuatu yang tidak boleh dilafazkan dengan sewenang wenangnya. Dalam sebuah peristiwa, datang seorang paderi kristian kepada nabi dan berdakyah bahawa mereka berada diatas kebenaran. Maka apabila diminta agar mereka bersumpah, ternyata mereka takut dan berkata: "Lebih baik kita tidak bersumpah, kerana jika benar dia adalah rasul maka akan celakalah kita" Demikian besar impak sumpah yang kini dianggap sebagai mainan politik kotor.

3) Assyeikh berpesan kepada umat islam agar memeriksa setiap berita yang mereka terima. Dan jika berita yang mereka terima adalah dari sumber yang diragui, maka janganlah berita itu diambil bulat bulat tampa usul periksa. Ini dapat diistifadahkan dari ayat Al Quran dalam surah Al Hujurat ayat 6: "Wahai orang orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang yang fasiq membawa khabar berita, maka keatas kamu untuk memeriksa kesahihan berita itu. Kerana takut takut kamu menimpakan keatas sesebuah kaum itu atas kejahilan kamu, dankamu akan dapati atas apa yang kamu kerjakan itu penyesalan."

4) Sesungguhnya atas tuduhan seseorang itu melakukan zina, maka mendatangkan 4 orang saksi yang adil adalah wajib, dan jika orang yang menuduh itu gagal untuk mendatangkan saksi, maka bersaksilah kamu bahawa mereka itu adalah dari puak yang mendustakan, fasiq dan munafiq. Ini adalah kalimah yang kunantikan keluar dari mulut assyeikh.

5) Assyeikh telah ditanya oleh seorang yang hadir tentang apakah perkara terbaik yang perlu DSAI lakukan untuk berhadapan situasi ini, adakah perlu DSAI bertindak membalas sumpah sebagai mana yang telah disaranankan oleh Dr. Juanda mufti Perlis. Assyeikh menjawab bahawa memadai atas DSAI untuk memohon pelindungan dari Allah dan menumpukan kepada perkara yang lebih penting dengan mengabaikan perkara remeh temeh seperti ini.

Asseikh telah diajukan banyak soalan tentang penerimaan video sebagai bahan bukti untuk dibawa kepada mahkamah syariah. Assyeikh menegaskan bahawa video tidak sama sekali diterima dalam penghakiman syarie dan hanya 4 orang saksi yang adil dapat mensabitkan hukuman zina keatas seseorang. Apabila soalan yang sama ditanya berulang kali, dengan nada yang agak tinggi assyeikh bertanya kepada sekalian jemaah yang hadir,: "Adakah kalian mahu mengikuti Syariat Syaitan atau Syariat Allah"...

Demikian pencerahan yang dapat aku konsikan diruang sempit ini. Banyak lagi titipan ilmu yang telah assyeikh sampaikan namun tidak dapat ku sampaikan diruangan ini. Aku sangat berharap agar kalian dapat mencari rakaman Kuliah Umum ini kerana ianya telah ternyata sabit disisi islam dan tidak perlu lagi diperbesarkan oleh masyarakat umum.

Astaghfirullah al Azim....

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!