Selasa, 11 Mac 2008

Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah

Bahang pilihan raya tambah mendebarkan. Semua jentera pilihan raya sudah menekan gear lima untuk menuju ke garisan penamat dalam pertandingan yang menentukan corak kepimpinan negara. Johor memang termaktub sebagai `Kubu kuat Umno'. Ibaratnya secawan kopi yang pekat, likat dan pahit. Sukar untuk mengubah minda atau fahaman rakyat Johor Darul Takzim.
Dalam kempen pilihan raya sejak tahun 1959 hingga 2004 sukar untuk melihat kibaran bendera lambang PAS berada di jalan raya atau di kampung-kampung. Jika ada yang berani memacakkan lambang PAS, individu tersebut akan dipulaukan. Pernah berlaku tahun 80an di rumah seorang ustaz dibaling najis oleh anak-anak muda disebabkan lambang PAS berkibar di rumah tersebut. Inilah padahnya jika rakyat Johor menyokong PAS secara terang-terangan.
Bagaikan tidak percaya suatu perubahan yang berlaku dalam kempen pilihan raya ke-12. Kibaran lambang PAS berada di setiap pokok dan tiang elektrik sepanjang jalan dari bandar Batu Pahat hingga Batu 13, Jalan Kluang, Air Hitam. Kampung bekas Adun Parit Raja, Aziz Kaprawi pun dipenuhi dengan bendera PAS. Apa sudah jadi, hati saya bersoal jawab seorang. Bukan tidak ada bendera lambang BN tetapi kewujudan bendera PAS mengejutkan saya yang sudah tinggal di Kuala Lumpur selama 18 tahun. Seorang warga emas yang ditemui, Mariam Abdullah melahirkan kemarahan dan tidak puas hati dengan pimpinan Umno Seri Gading ekoran pembahagian peruntukkan banjir tahun lalu tidak dibagi secara adil.
"Bukan saja mak cik marah semua orang kampung marah dengan sikap pimpinan Umno tak adil bagi beras, susu, duit. Kita yang tidak pindah ke sekolah tak dapat langsung bantuan. Tapi bantuan yang sepatutnya diberikan kepada mangsa banjir dibawa balik AJK Umno," katanya.
Seorang ibu muda, Fazlina Mohamad terkilan dengan sikap calon Umno Parit Raja, Aziz Kaprawi yang menggunakan kesempatan mengutuk kerajaan Kelantan ketika berkempen di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK) Taman Panchor, Batu Pahat.
Majoriti penduduk di Parlimen Seri Gading lebih kurang 75 peratus Melayu, 15 peratus Cina dan selebihnya India. Tinjauan saya mendapati, bukan saja bendera PAS itu terpacak di kawasan Melayu bahkan kedai runcit dan perkampungan masyarakat Cina turut dikibarkan bendera lambang PAS.
Beberapa slogan di kedai runcit Cina terdapat kain rentang `Minyak naik 30 sen', poster Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Kain rentang yang tertera di Kampung Baru pula, 'Kami menentang BN harga barang naik'; 'Kerajaan BN najis, buat bangkrap negara', 'Undi PAS Nik Aziz, negara berkebajikan'.
Penyandang kerusi Parlimen Seri Gading (Umno) Dato' Mohamad Aziz dicabar oleh KeADILan manakala Dun Parit Raja, PAS, Mustapha Abdul Rahman akan mencabar Aziz Kaprawi dan DUN Parit Yaani, PAS Ustaz Hashim Yusuf akan mencabar MCA.
Tidak mustahil dalam pilihan raya ke-12 ini Kubu kuat Umno akan diruntuhkan oleh pembangkang PAS dan KeADILan. Suara kebangkitan rakyat bukan saja berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Terengganu bahkan kubu kuat Umno turut mengalami perubahan tersebut.
Ramai penduduk di Batu Pahat beranggapan mungkin untuk melihat Johor dikuasai PAS berat tetapi untuk memastikan suara pembangkang bertambah amat menyakinkan.

3 comments:

Fenrisar berkata...

This comment has been removed because it linked to malicious content. Learn more.

Gardagami berkata...

See here or here

Zololkis berkata...

SECURITY CENTER: See Please Here

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!