Ahad, 26 Julai 2009

Ahlan Syaaban




Gerbang Syaaban telah terbuka. Menebarkan senyuman manis buat ummat akhir zaman. Melebar mengharum wangian bulan ibadah. Kehadirannya turut menyaksikan kebangkitan ruh ubudiyyah dikalangan mereka yang mencintai amal amal soleh. Bulan kelapan taqwim hijriyyah ini merupakan sebuah peringatan akan hadirnya sebuah bulan yang agung ummat islam.

Persiapan demi persiapan mulai dibuat mereka yang merasakan kepentingan bulan ini. Amalan amalan sunnah mulai rancak disetiap benak mereka yang mempunyai halawah iman di qalbu. Namun awas, dalam keghairahan untuk beramal, jangan sampai tersungkur di taman bida'h. Setiap amalan kita mestilah bersanadkan hadith hadith yang sohih lagi hasan. Semoga kita beroleh kejayaan dalam menempuh taman taman idaman menuju syurga hakiki.

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” 

Namun tidak kurang juga mereka yang mula bersiap untuk sesuatu yang kukira terlalu awal. Ada diantara ummah melayu yang sudah mula untuk mempersiapkan diri untuk menyambut Aidilfitri. Namun kukira ada baiknya juga perkara ini. Bulan Ramadhan nanti sudah tak kalut sangat. Ini akan membolehkan kita untuk menumpukan setiap amalan pada 10 malam terakhir hanya untuk Rabbul Izzati. 

Antara peristiwa yang berlaku didalam bulan ini adalah pertukaran kiblat dari Masjid Al Aqsa ke Masjid Al Haram. Ibnu Sa‘ad di dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau telah menyediakan jamuan untuk Rasulullah dan para sahabatnya. Apabila tiba waktu solat zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Sedang baginda berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya agar menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Baginda terus berpaling menghadap ke arah kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Oleh kerana itu masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi terdapat di Madinah dan merupakan salah satu tempat lawatan oleh jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar sewaktu orang bersolat subuh di masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah telah diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah tersebut. Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat di atas, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama ke arah Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat asar. Manakala solat subuh pula ialah di masjid Quba.  


Simboliknya palingan kiblat ini menunjukkan kepada kita bahawa perintah allah harus dilaksanakan dan larangannya harus ditinggalkan 180 darjah secara total. Maka didalam bulan yang berkah ini, marilah sama sama kita berdoa agar diberi kesempatan dan hidayah untuk menjalankan segala perintahnya.

"Allahumma Bariklana Fir Rejjab Wa Syaaban Wa Ballighna Ramadhan"

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!