Khamis, 14 Januari 2010

Ma'rifah Maqam Qalb

Bismillah.

Menuntut ilmu adalah suatu rutin harian seorang muslim mukmin atas muka bumi Allah ini. Addin Islami telah memecahkan pembahagian ilmu kepada tiga cabang utama. Qaul ulama ada menyatakan "awwaluddin ma'rifatallah", maka sebaik baik ilmu dan terawal untuk didalami adalah ilmu mengenal tuhan (ilmu kalam).

Maka setelah mengenali tuhan secara daqiq, maka akan timbul perasaan yang halus untuk mencintainya. Perasaan yang tiba secara sirr ini tidak dapat dibendung oleh orang yang hatinya tandus oleh cinta Al Khaliq. Dan pastinya dia akan mencari jalan untuk menzahirkan rasa kasihnya kepada pencipta.

Maka timbullah pula cabang kedua dan keilmuan islam yaitu fiqh. Fiqh telah didefinisikan sebabagai sebuah ilmu yang meliputi hukum hukum syarie yang praktikal yang dapat diadaptasi dan diambil berasaskan dalili dalil tafsili. Maka sebagai seorang manusia yang tercari cari kaifiah untuk menterjemahkan cintanya kepada rabb, Fiqh ibadah telah tersedia untuk diteliti dan dipraktikkan sebagai tanda cinta kita.

Sifat tamak perlu disemai dalam hati hati pencinta tuhan. Tamak yang disifatkan sebagai perasaan senantiasa tidak cukup atas sesuatu perkara perlu dilentur kearah pengabdian terhadap Allah yang semestinya dialah sebab atas kewujudan manusia. Jika proses ini berjaya, maka telah pasti akan lahir seorang insan rabbani yang akan membawanya untuk menyelidiki cabang ilmu islam yang terakhir.

Akhlak dan Tasawwuf merupakan cabang penutup ilmu islam. Cabang ini boleh dikategorikan sebagai samarat ilmu islami (buah/hasil keilmuan islam). Ilmu ini adalah kesinambungan cabang ilmu sebelumnya dan barang siapa yang berjaya menyempurnakannya akan mencapai hati yang mutmainnah.

Untuk menguji tahap mutmainnah hati seseorang manusia, Dr Rifaei al Misri, ada menyatakan , ia boleh diuji dalam keadaan keadaan berikut;

1. Ketika berkhalwah (bersendirian)
2. Ketika ghadhab (marah)
3. Ketika ihtaj (berhajat)
4. Ketika istaghna (kaya)
5. Ketika qaddir (berkuasa)

Maka atas segenap kekhilafan hati, perkongsian ini dirasakan baik untuk disebarkan. Semoga kita mampu menjadi orang yang digambarkan dalam al quran, " yauma la yanfau malun wala banun, illa man ata allaha biqalbin salim " bermaksud, Pada hari tidak ada bermakna harta dan anak pinak, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang tenang...

Wallahua'lam.

Khamis, 31 Disember 2009

Menjadi Tua


Bismillah...

Hari hari meluncur laju tampa sebarang halangan. Perginya hari bukanlah kemampuan manusia untuk menegah. Hanya khayalan Doraemon sahaja yang mampu membawa kita menjelajah kemasa lampau melalui laci masa dimeja Nobita. Namun Doraemon sedar bahawa dia bukanlah dicipta untuk merealisasikan apa sahaja impian Nobita, kerana dia hanyalah sebuah robot yang hanya diprogram untuk memudahkan urusan remaja tolol seperti Nobita.

Menjadi Tua tidak bermakna seseorang sudah perlu mula mengaji Al Quran. Tua juga bukan dicipta untuk manusia guna sebagai alat untuk mendapat wang pencen. Tetapi Tua menjelma agar insan sedar akan adanya pencipta yang tiada sempadan umurnya. Tua hadir sebagai sebuah saman dari kerajaan langit dan perlu dilunaskan saman itu dimahkamah mahsyar.

Para pengkaji barat, berdasarkan kajian mereka keatas psikologi dan tumbesaran manusia, menyifatkan Tua sebagai perubahan perubahan yang membawa kepada kelemahan, dan umurnya sudah melepasi "life span"nya dan menjadi pengakhiran kitaran hidup. Demikian fakta yang ditemui mereka yang tiada keimanan keatas Hari Penghitungan kelak.

Namun satu fakta yang diusulkan mereka jatuh tepat keatas diriku. Menjadi Tua juga ditafsirkan sebagai perubahan aktiviti dan peranan sosial diri manusia...
Aku semakin Tua (yelah, siapa yang semakin mudakan)

Saat berjalan dikoridor hadapan pejabat FSU, sekilas kuterpandang gelagat adik adik Tamhidi berbaris diluar kelas sementara menunggu pensyarah masuk. Dalam sekilas itu, terpancar semula ingatanku saat pertama kali memasuki kelas tutorial. Dalam keadaan tidak mengenal sesiapa aku menegur Wak(Syukri). Teman yang sentiasa berada dalam kelas yang sama dengan ku ini sentiasa ceria.

Selepas tiga tahun, terasa perubahan yang aku sendiri tidak sedari hingga kini. Perubahan corak sosial yang semakin teruk menjadikan aku sesuatu makhluk yang asing walau pada diri sendiri. Aku bukan aku yang aku kenal dulu. Tak cakap dengan banat, tak nyanyi lagu lagha, kadang kadang pergi Usrah. Semua itu hanya amalan Ridhwan zaman batu. Aku semakin jauh.

Tahun Baru ini, tiada yang kuharap. Melainkan untuk kembali seperti dulu. Walau kunafikan kewujudan Doraemon, namun khayalannya terkadang ingin kurasa agar aku tidak menjadi aku yang sekarang.

Ya Allah usah kau paling hati ini....

Jumaat, 18 Disember 2009

Iman, kamu cuti ke hari ini?

Iman: Assalamualakum.

Aku: Waalaikumsalam, oh En Iman. Saya rasa dah dua tiga minggu kamu tak datang pejabat. Kamu cuti ke?

Iman: Ape pula saya cuti boss, kan saya diberi cuti.

Aku: Oh ye, lupa. Itu lah, saya ingat semua akan selesai lepas ambil En Nafsu bekerja, tapi kelam kabut pulak lepas dengar ceramah Tok Guru hari tu, nie teringat kat En Iman nie.

Iman: Jadi saya boleh kerja balik lah boss? Boleh ambil semula jawatan saya dari En Nafsu?

Aku: Eh, tak boleh. Saya sayang nak pecat En Nafsu, walau bayaran mahal, tapi dia cukup menghiburkan saya.

Iman: Kalau macam tu, baik saya berundur.

Aku: Eh jangan! Saya tak boleh kehilangan kamu berdua.

Iman: Tapi boss, kami memang tak boleh bersama. Dia macam anti kat sayalah. Saya bukannya Wahabbi ke , Syiah ke, Khawarij lagi lah tak.

Aku: Saya rasa serba salah lah.

Iman: Boss boleh pilih satu je. Mujahadah sikit je boss. Insya allah ada jawapan.

Aku: Saya tahu, jauh dalam hati saya memerlukan pekerja macam En Iman nie. Iri hati tengok syarikat sebelah maju sebab ada orang macam En Iman. Baiklah saya kena pecat juga En Nafsu, tak kiralah apa berlaku. En Iman, arahan pertama saya. Saya mahu awak tubuhkan semula jabatan Solat, Puasa, Zikir, Quran dan apa yang awak rasa patut.

Iman: Alhamdulillah. Baiklah tuan.

Demikian dialog dialog yang sering berkumandang dalam hati syabab akhir zaman ini. Pada kebiasaannya, En Iman hanya akan bekerja selama satu minggu sahaja dan akan diberi cuti lagi. Dan dialog ini akan berulang ulang sehingga Yang Maha Esa mentaqdirkan yang sebaliknya...


p/s:  dialog dimanfaatkan dari ruangan muhasabah Ust Badli Shah Alauddin.

Selasa, 8 Disember 2009

Lapar


Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim, Khatib, Ibn Asakir dan Ibnu Najjar daripada Abu Hurairah r.a dia berkata: Aku pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. ketika dia sedang bersembahyang duduk, maka aku pun bertanya kepadanya: Ya Rasulullah! mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk? Apakah engkau sedang sakit?

Jawab baginda:" Aku lapar, wahai Abu Hurairah!"

Mendengar jawaban baginda itu, aku lantas menangis sedih mengenangkan keadaan baginda itu. Baginda berasa kasihan mendengar aku menangis, lalu berkata:

"Wahai Abu Hurairah! usah engkau menangis, kerana beratnya hisab di Hari Kiamat kelak tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar didunia jika dia menjaga dirinya semasa hidup didunia."


Wahai rasulullah, jauhnya aku dari sunnahmu...

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!