• Malaysiakini in Bahasa

  • BBC News

  • Aljazeera

  • CNET News

  • National Geographic

  • Apple.com

Jumaat, 24 Februari 2012

Taman Syurga Asatizah


Bismillah


Konvensyen Fiqh Ummah berlalu seminggu sudah. Resolusi demi resolusi yang dibentangkan pada hari itu memberikan gambaran kepada ummah yang hidup secara wasatiy merupakan sebuah jalan yang harmoni, lancar bak jalan yang baru diturap. Sebuah majlis himpunan para asatizah sungguh sungguh terkesan dalam jiwa.

Segala syukur kehadrat yang esa kerna mengizinkan diri untuk menghadiri majlis ini. Terasa hati ini hidup semula saat menerima lantunan suara lembut para asatizah memberi peringatan. Walau tajuk tajuk kertas kerja tidak ringan namun penjelasan yang berhemah para asatizah menjadikan pengisian itu mudah difahami oleh umum.

Didalam majlis ini, tergambar jelas bagaimana para asatizah ini berinteraksi sesama sendiri. Kalimah kalimah penuh ruh ukhuwwah dan rasa cinta sesama mukmin menyejukkan pandangan yang selalu dikotori dengan maksiat dunia. Senda gurau dan teguran membina antara para alim ini menjadikan para mad'u terasa ingin menghampiri sosok tubuh insan insan ini dengan lebih dekat.

Sejenak ku toleh kebelakang. kudapati lautan manusia yang dahagakan ilmu mendengar khusyuk limpahan ma'rifah. Terasa bagai kekuatan islam itu semakin bangkit kiasan ramainya insan yang ingin kembali hidup bertuhan yang satu. Terasa tiada musuh yang bisa merobek jaringan ini. Dan terasa bagai jika ingin dibebaskan Al Aqsa saat ini, wallahi sudah jatuh Al Aqsa ketangan ummat islam.

Walau konvensyen ini dinaungi bangunan yang padanya terdapat sebuah parti sekular, namun ia tidak sekali menjauhkan ummat dari majlis penuh barakah ini. Walau setiap penyertaan memerlukan bayaran, namun tidak terbanding dengan manfaat yang dapat dikutip darinya. Penulis berharap majlis ini kan datang lagi dimasa hadapan. Hadir dan memberi lagi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Berpesan Rasul dalam sebuah Hadith: Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.



Wallahua'lam.

Isnin, 30 Januari 2012

Selamat Hari Lahir


Bismillah

Setiap tahun ia kan berulang. Setiap tahun kita pasti meraikan. Hari hari dimana kita merasa bahagia. Hari kita merasa diri diingati dihargai. Hari kita dilahirkan atas muka bumi ini. Namun ada yang berhujah ia tidak sepatutnya menjadi satu tarikh keramat yang perlu disambut sedemikian rupa. Ia adalah amalan umat bukan islam. Mengapa kita yang islam ini perlu meniru setiap tindak perihal seorang kafir dan merai hari yang tidak dirai oleh Rasul Junjungan saban tahun.

Terdapat beberapa sebab mengapa Hari Lahir ini wajar dirai.

Pertama, wahai sahabat, kita perlu kenang dan sentiasa ingat akan hadiah pertama yang kita terima pada hari kelahiran kita ini. Pada saat pertama kita dibawa kealam nyata, kita kan disambut dan dihadiah kan oleh ayah tercinta akan dua bait indah. Kalam pertama dan amanah suci yang dianugerahkan kepada kita pada hari itu. Bisikan Azan ditelinga kanan dan bisikan Iqamat di telinga kiri. Saban tahun kita menerima hadiah namun sungguh tak terbanding dengan hadiah pertama itu.


Kedua, wahai sahabat, sesungguhnya pada ulang tahun hari itu, ibu bapa kita telah membanggakan Rasul dengan melahirkan seorang lagi umat bagi Nabi akhir zaman. Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa kelak diakhirat nanti, Kekasih Allah ini sangat berbangga dengan umatnya yang ramai. Kemudian umat ini terus maju dan menambah amalan demi amalan dan menegakkan syiar islam kemuka alam jagat.


Ketiga, wahai sahabat, ketahuilah bahawa pada hari kelahiranmu itu, telah tetap akan ketentuan bahawa kelak timbangan amal kedua orang tuamu telah diletakkan diatasnya sebuah asset. Asset yang pastikan menyinar dan menambah amal walau saat itu telah terputus segala amalan dari kitab. Anak anak soleh yang mendoakan kesejahteraan dan kedamaian ibu bapanya dialam kubur. Maka salahkah kita merai hari yang menggebirakan ibu bapa kita.

Keempat, wahai sahabat, hari ulang tahun ini tidak bertujuan sekadar kita mengingati apa yang telah berlalu. Ia juga bertindak sebagai satu noktah dalam hidup yang menandakan satu titik titik yang bersambung. Sejak mula kita dilahir sehingga hari ini, titik titik ini membentuk satu laluan yang padanya kita bisa memeriksa dan muhasabah perjalanan hidup. Dan ia juga bertindak sebagai titik titik yang pasti mengarah kesatu noktah terakhir. Kubur sebagai destinasi terakhir noktah ini.

Masa yang semakin singkat usah dibazir. Kutip dan analisalah titik titik ini supaya ia kelak kan menjadi sebuah garisan. Garisan yang kan menjadi satu kayu ukur. Sejauh mana kita telah melangkah. Dan dari kayu ukur ini, manusia bisa menganggar bilakah masanya diri perlu diservis.

Selamat Hari Lahir wahai sahabat tersayang…

Selasa, 24 Januari 2012

Belajarlah dari Sirah

Bismillah.

Segala puji bagi tuhan pentadbir sekalian alam. Tuhan yang berkuasa memberi dan menarik semula kekuasaan yang diberi kepada makhluk. Tuhan yang menetapkan bahawa akan tiba hari ini. Hari dimana engkau tiada lagi sebarang posisi dalam karier politik. Hari dimana kerajaan berjaya memutuskan tali perhubunganmu bersama jamaah ini menentang pemerintahan yang menindas.



Datuk Dr. Hassan Ali, seorang individu yang aku hormati. Aku masih menghormati beliau selagi mana beliau tidak menyertai UMNO. Bersama sama meraikan kemenangan Pakatan Rakyat keatas Selangor merupakan sebuah kenangan terindah saat bersama dalam satu jamaah. Diberi mandat selaku seorang yang bertanggungjawab atas perihal agama dan adat melayu, Dr. Hassan menjadi satu ikon dalam mengimarahkan urusan perihal Islam di Selangor.



Ternyata permainan mereka tersangat licik. Mengipas api didalam sekam yang meruap ruap naik. Yang kemudian membara membakar dalam diam. Dan bila mana ia sampai memuncak, tiada dapat lagi dibendung. Isu demi isu bangkit semula. Engkaulah perwira yang memperjuangkan aqidah umat saat nasrani berdakyah. Engkaulah penegak kalimat menumpah arak arak dijalanan. Namun ternyata parti kolot telah dipengaruhi peliwat jijik. Engkau dibuang secara terhormat. Oh demikian laporan akhbar akhbar berkepentingan kerajaan.

Hari ini, Majlis Syura telah menetapkan bahawa Dr. Hassan perlu dipecat dari parti. Presiden Pas tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan keputusan itu dengan tenang. Sebuah pemergian yang teramat merugikan Pakatan Rakyat. Sebuah aset yang pasti didatangi oleh pihak kerajaan. Semestinya menjadi isu yang bakal diguna dalam setiap kursus BTN. Dr. Hassan dilihat menerima keputusan ini dengan sedikit rasa tidak berpuas hati. Cyber troopers disegenap ruang media elektronik terus menerus menyalurkan bahan perang saraf. Facebook menjadi sebuah medan pertempuran yang memperlihatkan pertembungan fahaman ideologi pro kerajaan vs pembangkang.

Dr. Hassan, satu nasihat ku kepada mu. Belajarlah dari Sirah.

Hayatilah kisah Khalid al Walid r.a ketika beliau dipecat daripada jawatannya sebagai seorang Panglima Agung Islam. Saidina Umar mengambil langkah yang dilihat ummah ketika itu sebagai satu langkah yang merugikan kepentingan Islam. Sirah memperlihatkan seolah olah dua tokoh ini bercakaran dan berakhir dengan pemecatan seorang ikon perang yang digeruni.

Siapa tidak kenal dengan Saidina Umar al Khattab, seorang khalifah yang tegas. Mana mana jalan yang dilalui oelh Saidina Umar tidak akan dilalui oleh syaitan. Khalifah yang mempunyai hati yang lembut dan sering menyantuni rakyat. Dan siapa yang bisa menafikan kehandalan Khalid al Walid, seorang strategis Islam unggul. Tiada satu peperangan yang berakhir dengan kekalahan Khalid. Seorang panglima yang membawa jolokan Saifullah al Masyhur. Pedang Allah yang tidak bisa tertahan oleh mana mana baju besi.

Namun setiap tindakan yang diambil Khalifah semestinya berasas dan demi kemaslahatan sejagat. Mengerti akan hakikat ini, Khalid al Walid terus memberikan baiah dan menerima arahan daripada Panglima Islam yang baru ketika itu dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah. Seorang pemuda yang disifatkan Rasul sebagai orang kepercayaan umat akhir zaman. Tenang hati Khalid saat menerima berita pemecatan itu. Khalid bertegas dan dalam ucapannya "Aku berjuang demi Islam, bukan demi Umar".

Semoga pilihan yang bakal diambil dapat memberi manfaat kepada umat. Ingatlah bahawa tuhan telah berpesan, " Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah engkau meleraikan diri darinya"...

Wallahua'lam.

Khamis, 29 Disember 2011

Ittaqullah...

Bismillah.

Ketahuilah wahai saudara, jika anda takutkan pemerintah, pemerintah akan mati. Jika anda takutkan kegelapan, kelak kan terbit sang mentari. Jika anda takutkan kemiskinan, dengan usaha akan hadir rezeki. Jika anda takutkan kehinaan, ketahuilah bahawa serata makhluk sama nilai disisi ilahi. Jika anda takutkan peperiksaan, fahamilah bahawa ia tidak lebih dari helaian helaian kertas sekadar menguji. Tetapi jika anda takutkan Allah, segala nikmat pasti mengunjungi. Jika anda takutkan Allah, anda pasti ditakuti.

Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang mujtahid dunia Islam. Imam kepada mazhab Hanbali ini berguru dengan Imam Syafie rahimahullah. Beliau memenuhi kehidupannya di Iraq dengan segala amalan amalan yang mendekatkan hati beliau dengan sang pencipta alam. Tiada ditanam secebis rasa takut kecuali pada ilahi.

Zaman beliau adalah zaman Iraq diperintah oleh seorang Amirul Mukminin dari Khilafah Abbasiyyah, Almutawakkil Ala Allah Jaa'far bin Mu'tasim. Seorang khalifah yang menggantikan saudaranya Al Mu'tasim yang wafat pada tahun 323 H. Khalifah al Mutawakkil mempunyai seorang jariah yang beliau sayangi. Ditaqdirkan suatu hari, jariah itu telah dirasuk jin. Telah bermacam ikhtiyar beliau usahakan namun masih gagal. Akhirnya, beliau telah dinasihatkan untuk meminta ubat dengan Imam Ahmad.

Khalifah al Mutawakkil telah menghantar wakil untuk bertemu dengan imam Ahmad. Cubaan pertama telah gagal kerana Imam Ahmad enggan untuk pergi ke Istana. Beliau berhujah jika pihak istana mahukan khidmat beliau, seharusnya pihak istana datang kerumah beliau. Percubaan kedua yang hadir bersama surat rasmi juga tidak diendahkan oleh Imam Ahmad. Khalifah al Mutawakkil menghantar utusan ketiga dan mengarahkan utusan itu tidak pulang kecuali dengan hasil.

Atas permintaan itu, Imam Ahmad mengambil seliparnya dan diberikan kepada utusan itu. Beliau menyuruh utusan itu memberikan seliparnya kepada Khalifah al Mutawakkil. Kemudian khalifah al Mutawakkil perlulah mengangkat selipar itu lebih tinggi dari kepalanya dan berkata "..... hei syaitan dan jin yang berada didalam tubuh budak ini, keluarlah engkau dari tubuh ini, jika tidak akan aku pukul engkau dengan selipar Ahmad bin Hanbal...". Segeralah pulang utusan dengan membawa selipar Imam Ahmad.

Terdesak dengan keadaan jariah nya itu, Khalifah al Mutawakkil pun mengikuti segala pesan Imam Ahmad bin Hanbal. Diangkatnya selipar itu melepasi kepalanya dan berkata "..... hei syaitan dan jin yang berada didalam tubuh budak ini, keluarlah engkau dari tubuh ini, jika tidak akan aku pukul engkau dengan selipar Ahmad bin Hanbal...". Seusai disebut kalimah itu, terbit dari belakang jariah itu beberapa lembaga hitam dan lari dengan segera. Sebelum pergi jin itu berkata, " .... wahai khalifah, nasibku baik kerna engkau menyuruh aku keluar dari tubuh nya sahaja, jika engkau menyuruh aku keluar dari Iraq, tidak akan kusentuh bumi Baghdad ini..."

Demikian barakah seorang kekasih tuhan. Biar didatangi seorang Khalifah, darjat tidak menggugah hati seorang insan yang mulia disisi ilahi. Perasaan takut yang dianugerahkan kepada beliau disalurkan hanya pada satu sasaran. Tuhan semesta alam jagat. Ternyata selipar seorang insan yang takutkan Allah, adalah lebih ditakuti oleh makhluk yang tiada merasa hidup bertuhan. Bahkan diangkat melebihi kepala seorang Khalifah.




Wallahua'lam.

Type Speedtest

Typing Test Score

Visit the Typing Test and try!